Teknologi menghasilkan daging lembu, ikan, ayam dan khinzir berasaskan sayur-sayuran telah mata sejak empat tahun yang lalu. Firma Malaysia Phuture Food adalah antara yang terawal cuba memberikan cabaran kepada syarikat Impossible Meat. Kini penyelidik dari National University of Singapore (NUS) berjaya menghasilkan pula daging sotong yang diperbuat daripada sayuran menggunakan cetakan 3D.

Daging sotong berbentuk gelung yang dihasilkan bukan sahaja mempunyai tekstur yang sama dengan daging sebenar tetapi juga mempunyai rasa yang sama. NUS memulakan kajian daging berasaskan sayur kerana menyedari hakikat di masa hadapan sumber makan laut akan berkurangan. Ini ialah isu yang besar bagi Singapura yang mengimport 90% bekalan makanan laut mereka.
Untuk menghasilkan sotong cetakan 3D ini, NUS menunggunkan bahan mikroalga dan kacang hijau yang dicampurkan dengan minyak berasaskan tumbuhan mengandungi asid lemak omega-3 bagi memastikan ia berkhasiat untuk dimakan. Kerana ia berasaskan sayuran, daging sotong ini boleh dimakan dengan selamat oleh mereka yang mempunyai alahan kepada makanan laut.
Penyelidik kini akan menghasilkan lebih banyak prototaip daging berasaskan sayuran dan menilai bagaimana ia boleh dibangunkan untuk skala besar. Perubahan iklim sudahpun dilihat menyebabkan pengurangan jumlah haiwan di lautan. Jika ini berterusan mungkin di masa hadapan satu-satunya cara untuk menikmati makanan laut ialah menerusi yang berasaskan sayur.
- Sumber
- New Atlas