Xiaomi CyberDog 2 Turut Dilancarkan Dengan Saiz Lebih Kecil
Effi Saharudin
Dua tahun selepas Xiaomi CyberDog dilancarkan, hari ini Xiaomi CyberDog 2 pula dilancarkan. Kali ini anjing siber ini mempunyai saiz yang lebih kecil kerana menurut Xiaomi model asal menakutkan kanak-kanak. Dari segi saiz ia lebih kecil berbanding anjing dari baka Golden Retriever.

CyberDog 2 hanya seberat 8.9 kg dan sepanjang 36.7cm. Walaupun lebih kecil ia lebih bijak dan kompleks dengan ia dilengkapi 12 motor bagi membolehkan ia bergerak dengan kelajuan 1.6 m/s. Xiaomi berkata mereka membangunkan sendiri motor elektrik untuk CyberDog 2 bagi memenuhi keperluan mereka. Antara ciri baharu yang boleh dilakukan CyberDog 2 ialah melakukan balik kuang berkali-kali.

Selain itu CyberDog 2 lebih bijak kerana boleh berdiri semula dengan pantas sekiranya terjatuh. Kecerdasan buatan telah digunakan dengan model maya dilatih terlebih dahulu bagi membolehkan anjing ini beroperasi tanpa isu di dunia sebenar.

Pemproses cip NX dengan kemampuan 21 TOPS menjadi otak kepada robot ini. Sementara itu pelbagai sensor kamera 2D, kamera 3D, LiDAR, kamera RGB, ToF, RGB, UWB dan banyak lagi disertakan pada tubuh CyberDog 2. Tidak seperti CyberDog asal, CyberDog 2 kini ditawarkan dalam warna biru, kuning dan hitam.

Di China Xiaomi CyberDog 2 dijual pada harga RMB 12,999 (~RM8,266) sahaja dengan ia akan ditawarkan sebagai platform pembangunan robotik dalam jumlah yang terhad.