OWC Dan Frore Systems Memperlihatkan Sistem SSD Dengan Jumlah Storan 64TB
Nazrin
Frore Systems ialah sebuah nama teknologi yang baru di pasaran, dan dikenali untuk membangunkan sistem penyejukan komputer unik yang diperlihatkan sewaktu acara COMPUTEX Taipei baru-baru ini.
Baru-baru ini, di acara Flash Memory Summit 2023, OWC, pembuat perkakasan dan aksesori komputer berprestasi tinggi telah bekerjasama dengan Frore Systems untuk memperkenalkan kemampuan penyejukan Frore Systems melalui sistem SSD Mercury Pro Dual U.2 dan U2 Shuttle mereka, yang tampil dengan jumlah storan 64TB dan 32TB.

Untuk sistem SSD Mercury Pro Dual U.2, sistem ini dimuatkan dengan lapan storan SSD U.2 dan lapan cip Frore Systems AirJet didalam sistem tersebut, dan memperlihatkan kadar penulisan data 2200MB/s ke 2600MB/s secara konsisten.
Walaupun ia hanyalah menggunakan teknologi penghantaran data PCIe 3.0, apabila dipadatkan dengan storan SSD masih akan menjana suhu yang tinggi, dan haba ini boleh menyebabkan prestasi storan untuk menurun dengan mendadak.

Sistem penyejukan ini, yang dinamakan AirJet dibangunkan oleh Frore Systems yang menggunakan cip penyejukan yang terdiri daripada sirip membran yang menggunakan tenaga elektrik dan getaran sirip ini untuk mengalirkan udara kepada komponen ini.
Dengan lapan cip penyejukan AirJet ini dipasang, ia dilihat membantu sistem SSD OWC ini untuk beroperasi pada tahap prestasi 90 peratus kemampuannya untuk jangka masa lama.
[sumber]AnandTech[/sumber]