Empat tahun lepas Google memperkenalkan ciri Memories pada Google Photos yang memaparkan imej-imej dan video lama dimiliki pengguna untuk mengimbau kembali kenangan masing-masing. Hari demi hari ciri ini menjadi semakin menarik kerana boleh memberi judul pada setiap Memories dengan tepat. Misalnya gambar makanan dan minuman akan ada nama “Cool Drinks In The Summer”, gambar haiwan akan ada nama “Cute Cats” dan banyak lagi secara rawak.

Terbaru, Google Photos telah mengemaskini ciri Memories mereka dengan dikuasakan oleh kecerdasan buatan. Ia turut mempunyai tab tersendiri pada aplikasi Google Photos dengan ikon baharu. Ciri ini akan memaparkan kenangan pengguna dan ia boleh diperibadikan untuk berkongsi dengan yang tersayang detik-detik seperti sambutan sesuatu, kenangan percutian atau juga saat indah bersama tersayang.

Google menyatakan ciri ini adalah seakan buku skrap digital dan jika tidak ingin menggunakan ciri kecerdasan buatan, pengguna turut boleh mencipta kenangan sendiri. Setiap Memories yang dicipta turut boleh dikongsi dengan mudah dan lebih menarik, Google turut menyertakan ciri kecerdasan buatan generatif untuk menjana judul Memories.

Buat masa ini ia hanya ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat. Ia hanya akan ditawarkan ke peringkat global bermula bulan-bulan akan datang.
- Sumber