Cari @ Amanz

Adakah era peranti tanpa bezel akan bermula? Besar kemungkinan ya kerana gambar slaid teknologi skrin sifar bezel yang dibangunkan Samsung telahpun tertiris ke arena web. Menerusi teknologi ini keempat-empat sisi peranti melengkung membuatkan peranti kelihatan seperti tidak mempunyai sebarang bezel. Untuk memberikan pengalaman skrin penuh sebenar, kamera swafoto diletakkan di bawah skrin (UDC) sepenuhnya.

Dalam slaid yang sama bahagian skrin sisi boleh dikawal keterangannya. Mungkin ini adalah untuk menjadikan kawasan ini gelap ketika menonton video atau menjalankan permua bagi mengelakkan kandungan melimpah ke sisi. Panel ini turut disahkan daripada keluarga OLED. Tambah menarik ialah panel OLED ini dikemaskini bagi membolehkan kamera UDC mengambil gambar lebih jelas.

Tahun ini kita mendengar ura-ura Apple memesan panel OLED daripada Samsung dengan bezel lebih nipis untuk siri iPhone 15 Pro. Mungkin menerusi teknologi yang sama, panel OLED sifar bezel juga dibangunkan untuk siri Galaxy S24 kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd