Cari @ Amanz

Lamborghini akan beralih kepada kenderaan elektrik (EV) dalam masa terdekat kerana mengikut trend industri semasa. Kereta bahan api fosil sepenuhnya keluaran mereka telahpun habis ditempah. Hujung minggu lalu, Lamborghini Lanzador telah diperlihatkan sebagai kenderaan EV konsep pertama mereka dengan prestasi tinggi.

Menarik di sini ialah Lanzador tidak diklasifikasikan sebagai sebuah SUV walaupun kelihatan seperti SUV Urus yang dilancarkan pada tahun 2018. Sebaliknya ia adalah sebuah GT dengan konfigurasi 2+2 penumpang. Lanzador dilengkapi dwi-motor elektrik dengan output 1 MW atau sekitar 1300 kuasa kuda. Setiap motor akan memberikan kuasa kepada tayar Lanzador yang menjadikannya sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Setiap Lanzador mempunyai ruang untuk empat orang penumpang dengan selesa. Terdapat dua skrin di hadapan satu untuk kegunaan pemandu dan satu lagi untuk penumpang. Keempat-empat penumpang ditempatkan dalam tempat duduk jenis bakul untuk memastikan mereka terasa seperti berada dalam sebuah kereta lumba.

Walaupun berubah ke platform EV, rekabentuk Lanzador mengekalkan elemen klasik Lamborghini seperti sauk udara yang besar di hadapan dan tubuh dengan sudut tajam yang membuatkannya tampak agresif.

Lanzador ialah konsep yang akan menjadi asas kepada kereta EV sepenuhnya pertama Lamborghini menjelang 2028. Dengan pelancarannya kelak, Lamborghini ini melenyapkan imej bahawa kenderaan EV perlu kelihatan bosan dengan tubuh yang aerodinamik.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd