Cari @ Amanz

Terdapat dua produk baharu Oppo bakal diumumkan di China pada penghujung bulan ini. Produk yang dimaksudkan adalah Oppo Find N3 Flip yang merupakan peranti rekaan boleh lipat dengan rekaan klasik clamshell generasi baharu mereka. Seterusnya diikuti pula dengan Oppo Watch 4 Pro sebagai kemaskini untuk peranti boleh pakai mereka.

Rekaan dan eleman untuk kedua-dua produk juga telah sedia dikongsi menerusi kandungan promosi rasmi, yang menunjukkan terdapat perubahan telah dibuat oleh Oppo. Antaranya seperti Oppo Find N3 Flip kini disertakan dengan bonggol kamera bulat agak besar berbanding sebelum ini.

Sistem kamera turut diberi naik taraf kepada sokongan tri-kamera utama yang diletakkan bersama dalam bonggol tadi. Penjenamaan Hasselblad juga jelas kelihatan yang bermakna Oppo meneruskan kerjasama dengan syarikat berkenaan untuk kebolehan pada peranti ini.

Untuk Oppo Watch 4 Pro pula tidak menunjukkan perubahan yang drastik dalam aspek rekaan. Ia kelihatan sama dengan generasi sebelum ini yang menggunakan skrin berbentuk empat segi, berserta tali silikon atau kulit. Namun ia dikatakan mampu menawarkan ciri dan fungsi lebih baik, termasuklah sensor terbina dinaiktaraf yang mengoptimumkan algoritma untuk bacaan lebih tepat.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd