Carian
India Menjadi Negara Keempat Berjaya Mendarat Di Permukaan Bulan
August 24, 2023 Effi Saharudin

Neil Armstrong pernah berkata “satu langkah untuk manusia, satu lompatan gergasi untuk manusia sejagat” sewaktu beliau menjadi manusia pertama di permukaan bulan. Tetapi selepas 54 tahun, hanya tiga negara pernah menghantar misi ke permukaan bulan iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan China. Lewat malam tadi India menyertai senarai negara elit kerana berjaya mendarat di permukaan bulan menerusi misi Chandrayaan-3.

Kenderaan pendarat Vikram mendarat berhampiran Kutub Selatan bulan. India turut menjadi negara pertama berjaya mendaratkan kapal angkasa di Kutub Selatan bulan. Kawasan ini dilihat sebagai yang paling sesuai untuk dijadikan penempatan masa hadapan untuk koloni manusia pertama di bulan kerana kewujudan air yang dikesan oleh misi Chandrayaan-1.

Sejurus selepas mendarat, Vikram melancarkan kenderaan perayau enam roda Pragyaan seberat 26 kg yang mempunyai kemampuan melakukan analisa sampel tanah bulan. Kejayaan misi ini disambut oleh warga negara India kerana misi Chandrayaan-2 pada tahun 2019 untuk mendarat sebelum ini menemui kegagalan.

Hanya beberapa hari yang lalu Rusia cuba melakukan misi Luna-25 untuk turut mendarat di Kutub Selatan bulan tetapi ianya terhempas. Amerika Syarikat pula ingin kembali membawa manusia ke permukaan bulan menjelang 2025 tetapi Misi Artemis mereka kini mengalami kelewatan kerana isu melibatkan sistem pendarat yang direka oleh SpaceX.

Komen