TikTok Dilaporkan Akan Menghalang Pautan Laman E-Dagang Pesaing
Fahim Zahar
Sejak kebelakangan ini pelbagai platform media sosial mula menghalang perkongsian pautan ke platform pesaing. Baru-baru ini X akan membuang paparan pratonton pautan dan memperlahankan proses membuka pautan ke laman pesaing. Terkini TikTok pula ingin melakukan perkara sama.
The Information melaporkan TikTok akan menghalang perkongsian pautan ke laman e-dagang pesaing di platform mereka. Ini bermakna selepas perkongsian pautan TikTok Shop sahaja dibenarkan. Ini besar kemungkinan kerana ramai membeli barangan yang tular di TikTok Shop di laman e-dagang lain.

Buat masa ini TikTok dikatakan hanya akan menghalang pautan Amazon di Amerika Syarikat terlebih dahulu. Ini kerana di sana TikTok Shop kerugian sebanyak lebih $500 juta tahun ini untuk mengembangkan platform e-dagang mereka. Jika perkara ini sudah menjadi kebiasaan, kami di Amanz tidak terkejut jika selepas ini TikTok Malaysia turut akan menghalang perkongsian pautan Shopee, Lazada dan lain-lain.
Apa kata anda mengenai strategi baharu TikTok ini?
[sumber] TechCrunch [/sumber]