Pada bulan Januari yang lalu, Alienware telah memperkenalkan sebuah paparan skrin gaming baru yang hadir dengan kadar segar semula yang boleh dilewahjam sehingga 500Hz.
Terkini, sewaktu acara Gamescom 2023, jenama gaming tersebut telah memperkenalkan kemaskini baru untuk paparan skrin Alienware AW2524HF ini, dengan pengenalan sokongan untuk AMD FreeSync Premium pula, menggantikan sokongan untuk NVIDIA G-SYNC.
Spesifikasi lain, seperti penggunaan panel IPS 24.5 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 480Hz masih lagi sama, dan juga kemampuan olahan gamut warna sRGB 99 peratus bersama sokongan teknologi paparan VESA DisplayHDR 400.
Dari segi sokongan palam, paparan skrin ini dilihat menyokong HDMI 2.1, DisplayPort 1.4 dan mempunyai lima palam USB 3.2.
Menurut Dell, paparan skrin Alienware AW2524HF dengan sokongan AMD FreeSync Premium ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu bermula September 12 ini. Di laman web Dell Malaysia, model sama dengan sokongan NVIDIA G-SYNC dijual pada harga RM1499. Jika ia tiba di pasaran Malaysia kelak, tidak mengejutkan sekiranya ia juga ditawarkan pada harga yang sama.