Carian
Saintis Ingin Gunakan Teritip Bagi Mencari Lokasi MH370 Terhempas
August 24, 2023 Effi Saharudin

Sudah lebih 9 tahun MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Terdapat pelbagai teori mengenai apa yang terjadi pada 8 Mac 2014 yang menyebabkan kehilangan 237 nyawa. Usaha mencarinya menemui jalan buntu dan telahpun dihentikan. Saintis daripada University of South Florida (USF) kini mengatakan lokasi akhir MH370 mungkin boleh dikesan menggunakan teritip.

MH370

Setahun selepas pesawat hilang, beberapa puing seperti flaperon dan bingkai tingkap pesawat ditemukan tersadai di Pulau Reunion. Pada permukaannya ditemukan puluhan teritip yang mengesahkan pesawat terhempas ke laut. Saintis UFS mengatakan teritip menghasilkan satu lapisan baharu pada cangkerang setiap hari yang mengandungi nisbah isotop oksigen yang berbeza.

Teritip pada bahagian flaperon MH37- Gambar Reuters

Secara teorinya sekiranya lapisan pada teritip paling besar yang menjadikannya paling tua pada permukaan puing pesawat dikaji, saintis boleh mencari kawasan ia mula tumbuh. Menggunakan data air, suhu dan pergerakan arus dari tahun 2014 saintis boleh mengecilkan kawasan carian pesawat terhempas.

MH370 dipercayai terhempas di Laut India Selatan dengan kawasan seluas 60,000 km². Proses mencari bangkai pesawat yang pastinya sudah berkecai akan menjadi semakin sukar. Jawapan kepada misteri kehilangan MH370 masih belum dirungkai. Adakah mungkin analais teritip ini akan menjadi kunci untuk menyelesaikannya?

Komen