Carian
Lapan Tahun Kehilangan MH370 – Bagaimana Tragedi Ini Mengubah Industri Penerbangan
March 8, 2022 Effi Saharudin

Tarikh 8 Mac 2014 sukar dilupakan oleh rakyat Malaysia terutamanya ahli keluarga 51 warganegara yang menjadi penumpang pesawat MH370. Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines yang dalam perjalanan ke Beijing dilaporkan hilang dengan persoalan apakah yang berlaku kepadanya masih menjadi misteri sehingga hari ini.

Terdapat teori pesawat telah dirampas oleh jin dan ditelan masuk ke dalam laut. Ini teori merapu yang agak popular di peringkat awal semasa misi mencari pesawat masih lagi dilakukan. Dengan kebarangkalian pesawat ditemukan semakin nipis, teori konspirasi lebih aneh mula didengari seperti ia dirampas menggunakan alat kawalan jauh oleh Amerika Syarikat sebelum kesemua krew dan anak kapal dibunuh di Diego Garcia.

Teori ini sama sahaja tahap merapu dengan teori jin laut tadi. Bukti bahawa pesawat dengan sengaja diterbangkan ke Lautan Hindi oleh juruterbang atas sebab-sebab tertentu lebih masuk akal tetapi terlalu sensitif untuk dibincangkan.

Selepas lapan tahun kita masih tidak semakin hampir mengetahui apakah yang terjadi kepada 227 penumpang dan 12 anak kapal. Pada penghujung tahun lalu, Richard Godfrey seorang bekas jurutera mendakwa beliau mengetahui lokasi terakhir MH370 berdasarkan analisa isyarat radio. Menurut beliau pesawat terhempas kira-kira 1200 km di barat Perth Australia. Data beliau telah dianalisa oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) tetapi berdasarkan imej imbasan sonar kawasan yang sama dari tahun 2017, tiada sebarang objek yang mungkin MH370 ditemukan.

Tiada carian baharu akan dilakukan selepas kawasan dengan keluasan melebihi 80,000 km2 di Koridor Selatan Lautan Hindi telah diimbas dalam tiga misi yang berakhir pada tahun 2018 gagal mendatangkan sebarang hasil. Bukti MH370 terhempas adalah bahagian-bahagian pesawat yang terdampar dari Kepulauan Reunion, Mauritius dan Afrika Selatan.

Mungkin ada yang merasakan kehilangan MH370 adalah tragedi yang sia-sia. Tetapi ramai tidak menyedari bagaimana ia membawakan perubahan besar kepada industri penerbangan antarabangsa.

Perubahan paling besar dan dapat dilihat sekarang ialah sistem Automatic Dependent Surveillance-Broadcast (ADS-B) diberikan kemampuan menghantar kedudukan pesawat setiap 15 minit ke satelit pengesan. Sebelum ini ADS-B hanya menghantar kedudukan pesawat ke stesen pengesan di permukaan bumi dan ke pesawat lain sekiranya perlu. Kaedah lama ini menyebabkan pesawat tidak dapat dikesan apabila terbang di 70% kawasan bumi kerana ketiadaan stesen pengesan.

Penggunaan sistem baru ini dipersetujui oleh 160 negara ahli International Telecommunication Union (ITU) dan Malaysia Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama menggunakannya pada kesemua pesawat pada tahun 2016. Setiap pesawat di angkasa yang menyokong sistem satelit Iridium-Aireon kini boleh dijejak dengan selamat dan diketahui lokasinya sepanjang masa kerana tragedi MH370.

Satu lagi impak secara tidak langsung MH370 ialah bateri tidak lagi boleh disimpan di dalam bagasi yang disimpan dalam ruangan kargo. Jika anda menaiki mana-mana kapal terbang sekarang, anda akan disoal sama ada bateri disimpan di dalam beg. Sekiranya ya anda akan diarahkan untuk mengeluarkannya dan dimasukkan ke dalam beg yang dimasukkan ke dalam kabin.

Antara teori popular mengapa MH370 terhempas ialah kebakaran berlaku di ruang kargo pesawat yang pada waktu tersebut membawa 220 kilogram bateri Li-Ion untuk kelengkapan radio Motorola. Walaupun teori ini berjaya disangkal selepas siasatan dilakukan, risiko menyimpan bateri di ruangan kargo sudah diketahui selepas kemalangan pesawat UPS Flight 6 tahun 2010 dan Asiana 991 tahun 2011.

Misteri kehilangan MH370 masih belum dapat dirungkai dan ahli keluarga mangsa masih mencari sebab mengapa ahli keluarga mereka masih hilang. Perkara positif yang boleh diambil ialah tragedi membuatkan penerbangan awam moden semakin selamat kerana langkah yang diambil untuk mengelakkan MH370 dari berulang di masa hadapan.

Komen