Carian
ASUS Dilaporkan Akan Menghentikan Pengeluaran Telefon Zenfone
August 27, 2023 Effi Saharudin

Sebuah lagi siri telefon terkemuka akan melabuhkan tirai mereka tahun ini sekiranya laporan Technews adalah tepat. Menurut laman ini, ASUS akan menghentikan pengeluaran telefon siri Zenfone mereka tahun ini di bawah program penstrukturan semula syarikat yang sedang dilakukan sekarang.

Dengan ini telefon pintar Zenfone 10 akan menjadi yang terakhir dilancarkan. Selepas ini hanya siri telefon ROG Phone sahaja akan diteruskan oleh ASUS. Dalam segmen ini hanya ASUS satu-satunya pengeluar yang masih menawarkan telefon gaming selepas siri Lenovo Legion dan Black Shark telah dihentikan oleh pengeluar mereka.

ASUS Zenfone 10

Pada Julai lalu ASUS memulakan langkah pengurangan tenaga kerja bahagian PC dengan terdapat kakitangan yang dipindahkan ke bahagian telefon pintar. Sekiranya laporan ini benar, bahagian telefon pintar pula akan menjalani proses pengurangan tenaga kerja dalam masa terdekat.

Siri Zenfone pada suatu ketika adalah siri yang cukup diminati di Malaysia kerana ciri menarik pada perisian serta rekaan yang unik seperti Zenfone Zoom dengan sistem zum yang tinggi. Kepada peminat siri Zenfone, apakah model kegemaran anda?

Komen