Pada minggu lepas, India telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menjadi negara ke-4 yang berjaya melakukan pendaratan di permukaan bulan. Meneruskan kejayaan tersebut, kini Agensi Angkasa India telah mengumumkan akan menghantar misi seterusnya dinamakan Aditya-L1.
Aditya-L1 akan dilancarkan pada 2 September kelak, dengan fokus untuk mempelajari matahari. Selepas pelancaran pada awal September ini, ia akan mengambil masa sekitar 109 hari untuk tiba di orbit halo pada jarak penerbangan 1.5 juta kilometer dari Bumi. Ia dikatakan jaraknya adalah 4 kali ganda berbanding bulan.
Untuk makluman, jarak kapal angkasa ini masih jauh dari matahari, jikalau dibandingkan dengan misi yang telah dihantar oleh NASA sebelum ini. Namun, langkah penghantaran misi untuk mempelajari matahari ini merupakan salah satu langkah yang penting dalam arena aeroangkasa negara India – sekaligus mendahului pelbagai negara-negara lain dalam bidang sama.
Beberapa perkara disasarkan untuk dipelajari dan dipantau oleh India melalui misi ini, termasuk melibatkan pemanasan korona, angin suria dan pelbagai perkara melibatkan matahari dan kesannya terhadap sistem suria.