Nothing telah mengumumkan subjenama tersendiri yang dipanggil sebagai CMF by Nothing. Ia dikatakan boleh menjadi subjenama yang memfokuskan terhadap produk lebih mampu milik, di samping turut mengetengahkan rekaan dan kualiti cukup memadai.

Dalam perkembangan terbaharu sebanyak tiga produk CMF by Nothing telah ditemui menerusi beberapa tangkap layar tular. Ia menunjukkan produk yang berupa peranti boleh pakai CMF Watch Pro, fon telinga nirwayar CMF Buds Pro dan kepala pengecas CMF Power 65W GaN yang kesemuanya hadir dalam kemasan serba jingga. Ini jelas memberi pencerahan kepada umum bahawa jingga boleh menjadi warna utama buat subjenama berkenaan.

Bermula dengan CMF Watch Pro, ia menggabungkan rekaan muka jam berbentuk empat segi serta tali yang dipercayai sejenis silikon. Ia juga dilihat mempunyai kerangka agak tebal dan skrin AMOLED sebesar 1.96-inci digunakan bersama. Turut diberikan adalah pelbagai ciri kesihatan serta kecergasan standard yang merangkumi pemantauan kadar jantung, pola tidur, SpO2, tekanan harian dan lebih 100 mod sukan terbina. Bateri 330mAh disertakan pula boleh bertahan sehingga 13 hari penggunaan, di samping turut melepasi penarafan kalis air IP68.

Seterusnya CMF Buds Pro pula merupakan set fon telinga nirwayar bertangkai bersama putik silikon disertakan. Ia didatangkan dalam pod pengecas bulat yang nampak cukup kompak. Pemandu audio 10mm yang juga dilengkapi tiga mikrofon terbina dan pembatalan hingar aktif terbina boleh melengkapi fon telinga ini. Btaeri 460mAh digunakan pun boleh bertahan sehingga 11 jam penggunaa, dan meningkat kepada 37 jam dengan bantuan pod pengecas.

Beralih kepada CMF Power 65W GaN, ia boleh mempunyai sehingga tiga port yang merangkumi USB-A dan USB-C dan sesuai digunakan oleh pelbagai produk. Ia juga menyokong pelbagai protokol pengecasan sepeeti PD 3.0, QC 40+/ 3.0 / 2.0, SC, FCP, PPS, AFC, Apple 2.4A, Samsung 9V2A dan DCP. Dalam masa sama turut dilengkapi beberapa ciri pelindungan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan akibat litar pintas dan pemanasan yang melampau.

Kesemua produk ini mungkin diperkenalkan secara rasmi sekitar September mendatang, namun tidak dapat dinyatakan secara khusus, memandangkan Nothing masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi buat masa ini.
- Info
- Sumber – GSMArena