Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil telah memperkenalkan Pakej Rahmah 5G yang mana syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile dan Yes 5G akan menawarkan pelan 5G mereka sendiri pada harga yang lebih mampu-milik dari biasa.
Yes 5G Power 35 Rahmah
Yes 5G merupakan syarikat pertama yang mengumumkan penawaran pakej 5G Rahmah mereka dengan penawaran Yes Power 35 Rahmah mereka. Dengan RM35 sebulan, pakej ini menawarkan had data setinggi 100GB, dan menawarkan peranti-peranti ZTE Blade A73 dan Vivo Y55+ 5G pada harga RM240.
Dalam pada itu, pelan ini juga dilihat menawarkan panggilan ke mana-mana nombor tanpa had, dan juga kelajuan penghantaran data tiada had selagi kuota data belum dipenuhi.

U Mobile Pakej 5G Terpaling Rahmah
U Mobile juga hadir dengan pakej Rahmah 5G mereka tersendiri yang dinamakan Pakej 5G Terpaling Rahmah, yang mana dengan RM58 sebulan, anda akan mendapat kuota data 5G 200GB sebulan yang boleh dimanfaatkan melalui peranti pintar dan juga sebagai hotspot ke komputer dan juga untuk perantauan di negara Singapura, Indonesia dan Thailand.
Pelan ini merupakan pelan yang berdasarkan U Postpaid 68 mereka yang hadir dengan pengurangan harga RM10 dan penambahan data sebanyak 100GB.
Seperti yang diumumkan oleh Fahmi Fadzil, U Mobile akan menawarkan peranti-peranti Honor 90 Lite 5G dan juga Samsung Galaxy A14 5G pada harga RM240 ataupun RM120 untuk 100 ribu pelanggan B40 yang pertama.

Pakej Rahmah 5G Unifi Mobile
Telekom Malaysia melalui Unifi Mobile juga dilihat menawarkan Pakej Rahmah 5G mereka, dengan penawaran pakej 5G berharga RM60 dengan penawaran data 4G dan 5G sebanyak 60GB sebulan. Ini termasuklah dengan data hotspot sebanyak 10GB, dan panggilan terhad ke mana-mana nombor.
Penawaran ini adalah berdasarkan pakej Uni5G Postpaid 65 mereka dengan pengurangan harga sebanyak RM5 berbanding dengan harga asal.
Seperti yang diumumkan oleh Fahmi Fadzil, Unifi Mobile akan menawarkan peranti-peranti Honor 90 Lite 5G dan juga Samsung Galaxy A14 5G pada harga RM240 ataupun RM120 untuk 100 ribu pelanggan B40 yang pertama.

Pakej 5G Rahmah CelcomDigi
CelcomDigi memperlihatkan penawaran pakej pascabayar Rahmah 5G mereka melalui Digi dan juga Celcom Xpax. Sama seperti Unifi Mobile, kedua-dua Digi dan Celcom Xpax menawarkan data sebanyak 60GB pada harga RM60 sebulan.
Perbezaan disini ialah Xpax dilihat menambahkan juga kuota penstriman YouTube dan penggunaan media sosial tanpa had didalam penawaran mereka. Untuk Xpax, pelan ini dilihat pelan Xpax Postpaid 60 dengan had penggunaan data yang ditingkatkan dari 40GB ke 60GB.
Bagi Digi pula, pelan ini dilihat sama seperti pelan Digi Postpaid 60 dengan had penggunaan data yang ditingkatkan dari 50GB ke 60GB. Kedua-dua pelan ini juga dilihat menawarkan panggilan tanpa had ke mana-mana nombor, dan pengguna boleh menambahkan had data yang diperlukan hanya dengan membayar RM10 ke 110GB sebulan.
Dalam pada itu, kedua-dua syarikat telekomunikasi ini juga menawarkan peranti Honor 90 Lite pada harga RM239 dan Samsung Galaxy A14 5G pada harga RM119, menurut poster yang diperlihatkan. Rebat peranti RM120 untuk 100 ribu pelanggan B40 yang pertama juga tertakluk dibawah pelan ini.


Pakej Rahmah 5G Maxis
Maxis menawarkan pakej Rahmah 5G mereka melalui pelan Hotlink Postpaid 5G yang menawarkan data sebanyak 105GB pada harga RM60. Pelan ini adalah berasaskan pelan Hotlink Postpaid 70 yang menawarkan 70GB+35GB data sebulan pada harga RM70 yang kini mempunyai diskaun RM10.
Bersama-sama pelan ini, Maxis turut menawarkan data roaming percuma di Singapura, Indonesia dan juga Thailand. Penawaran peranti Honor 90 Lite dan Samsung Galaxy A14 juga diperlihatkan pada harga RM239 dan RM219, dan penawaran subsidi RM120 untuk 100 ribu pelanggan B40 yang pertama.

Pengakhiran
Syarikat-syarikat telekomunikasi ini akan mula menawarkan pelan-pelan Rahmah 5G mereka ini bermula esok (31 Ogos 2023) dan langganan untuknya akan berakhir pada 31 Disember 2023. Dalam pada itu, setiap pelan Rahmah 5G ini juga akan mengikat anda dengan syarikat telekomunikasi tersebut selama 24 bulan. Peranti-peranti yang dibeli melalui pelan ini juga akan hadir dengan jangka waranti selama 24 bulan.