Nampaknya dalam diam Huawei Mate 60 juga telah dilancarkan secara rasmi di China. Ia mempunyai rekabentuk hampir serupa dengan variasi pro yang menggabungkan skrin hadapan berlubang bersama bonggol kamera tebal di belakang. Konsep dwi-tona warna juga digunakan pada panel belakang yang menjadi nilai tambah menarik pada peranti.

Untuk spesifikasi peranti ini dilengkapi dengan skrin OLED sebesar 6.69″ beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Sekali lagi tiada butiran khusus mengenai cip pemprosesan namun memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman mencapai 1TB UFS 3.1 digunakan. Bateri pula sebesar 4,750mAh dan menyokong pengecasan pantas 66W berwayar, 50W nirwayar dan 7.5W berbalik.

Turut disertakan adalah kamera utama 50MP dengan bukaan apertur boleh diubah diantara F1.4-F4.0 dan OIS. Kemudiannya diikuti juga dengan sensor 12MP ultra-lebar dan 12MP OIS untuk kebolehan telefoto + makro. Sistem kamera ini menggunakan sistem XMAGE buatan Huawei sendiri yang juga menawarkan zum optikal 5X dan 50X digital. Kamera hadapan pula sebesar 13MP yang juga menyokong HDR.

Lain-lain spesifikasi termasuklah kalis air IP68, port USB Type-C/ USB 3.1 Gen 1, Wi-Fi 5/Wi-Fi 6, bluetooth 5.2 dan NFC. Peranti ini ditawarkan di China dengan harga bermula RMB5499 (~RM3,501) (12GB/256GB), RMB5999 (~RM3,819) (12GB/512GB) dan RMB6,999 (~RM4,457) (12GB/1TB). Tiada maklumat mengenai ketersediaannya di Malaysia yang diketahui buat masa ini.