Cari @ Amanz

Beberapa minggu yang lalu, kami telah melaporkan bahawa Intel telah menghentikan pembangunan dan pengeluaran komputer-komputer kecil Next Unit of Computing (NUC) mereka.

Terkini, ASUS mengesahkan mereka akan menggunakan rekaan-rekaan PC Intel untuk produk NUC mereka, dimana mereka telah menandatangani perjanjian tidak eksklusif yang membolehkan ASUS untuk menggunakan rekaan dan penjenamaan NUC didalam produk-produk NUC mereka.

ASUS dilihat akan menggunakan rekaan rangka NUC sedia ada dan menggunakan komponen Intel generasi ke-13 Raptor Lake untuk menguasakan komputer-komputer ini. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi samada mereka akan menggunakan cip-cip pemprosesan generasi ke-12 dan kebawah, khususnya untuk pelanggan-pelanggan sedia ada yang menggunakan komputer NUC generasi sebelum ini.

Seperti yang dikatakan, ASUS tidak mempunyai hakmilik eksklusif terhadap penggunaan rekaan dan penjenamaan NUC, tetapi secara ringkasnya, mereka dilihat mengambil-alih terus bisnes NUC Intel ini dengan kepakaran mereka sendiri didalam industri komputer.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi sekiranya ASUS akan memperkenalkan rekaan NUC mereka sendiri apabila Intel memperlihatkan cip pemprosesan terbaru mereka kelak, atau mengekalkan rekaan sedia ada sahaja.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd