Google Pixel 8 dan Pixel 8 Pro akan dilancarkan pada 4 Oktober hadapan. Rekaan serta beberapa spesifikasi telefon pintar ini telahpun tertiris sejak Mei lalu. Pagi ini imej pengolokan rasmi Pixel 8 Pro telah tertiris sepenuhnya oleh Google sendiri.
Pautan kepada model 3D Pixel 8 Pro pada laman Google ditemukan oleh Jose Ruben yang kemudiannya dikongsi ke laman X. Dari segi rekaan ia masih lagi sama dengan Pixel 7 Pro dimana terdapat palang di bahagian belakang yang menempatkan sistem tri-kamera.
Sistem kamera yang digunakan ialah sudut lebar, telefoto 5X dan ultra sudut lebar. Turut disahkan ialah terdapat sensor suhu terbina pada palang yang sama.Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan manakala talam SIM diletakkan pada pada sisi kiri. Sensor NFC turut diletakkan pada panel belakang. Maklumat lebih terperinci Pixel 8 dan Pixel 8 Pro akan diketahui pada acara pelancarannya masa depan.