Selepas setahun tidak mengeluarkan TWS premium, tahun ini Jabra hadir dengan Elite 8 Active iaitu set fon telinga nirwayar sebenar yang tahan lasak, ANC dan audio berkualiti tinggi. Lebih menarik kali ini Jabra bekerjasama dengan Dolby untuk membawakan sokongan Spatial Sound by Dolby, pengalaman pendengaran yang lebih imersif.
Jabra Elite 8 adalah TWS pertama di Malaysia yang mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP68 dan turut mempunyai binaan kukuh bagi menyasarkan pengguna yang aktif sukan lasak dan aktiviti di luar. Kualiti audio Jabra jarang mengecewakan saya dan kali ini mereka membawakan teknologi yang lebih maju, cuma adalah harga RM1049?
SPESIFIKASI
Jabra Elite 8 Active | |
---|---|
Jenis | Set fon telinga nirwayar sebenar Jenis dalam telinga |
Pemacu Audio | 6mm |
Mikrofon | 6x mikrofon MEMS Sidetone, HearThrough |
Pembatalan Hingar | Pembatalan Hingar Aktif (ANC) Adaptif Hibrid |
Bateri | Ketahanan mencapai 56 jam |
Tambatan | Bluetooth 5.3 Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair |
Codec | AAC, SBC |
Pengecasan | USB-C Pengecasan nirwayar |
Sokongan aplikasi | Sound+, iOS & Android |
Kawalan | Butang fizikal |
Kemampuan kalis air | IP68 (Fon Telinga) IP54 (Pod Pengecas) |
Harga Jualan | RM1049 (Navy Blue, karamel, atau kelabu) |
Elite 8 Active menggunakan pemacu audio 6mm yang hanya menyokong codec SBC dan AAC. Ia turut menyokong Spatial Sound by Dolby untuk pengalaman audio imersif tetapi tanpa sokongan penjejakan kepala. Sokongan IP68 adalah pada setiap fon telinga, sementara pod pengecas hanya menyokong IP54 seperti kebanyakan TWS di pasaran. Pada putik telinga, Jabra menggunakan EarGel dengan teknologi ShakeGrip yang memastikan fon telinga tidak akan terkeluar daripada telinga pengguna tanpa kira aktiviti apa yang sedang dilakukan.
Seperti biasa, Jabra akan kekal menawarkan mod tembus bunyi HearThrough mereka bersama-sama dengan Adaptive Hybrid ANC untuk pembatalan hingar aktif yang membolehkan pengguna fokus dengan aktiviti mereka tanpa sebarang gangguan.
Enam mikrofon terbina untuk ANC dan juga kualiti panggilan telefon yang jelas. Sensor cahaya ambien turut disediakan untuk sokongan auto jeda muzik. Elite 8 Active menggunakan Bluetooth 5.3 LE yang boleh ditambat pada dua peranti serta sokongan Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair. Ciri Spotify Tap turut masih boleh digunakan.
REKAAN DAN PENGGUNAAN
Jabra Elite 8 Active turut menggunakan rekaan yang kecil dan kompak seakan Sony WF-1000XM5. Ia amat ringan kerana apabila dimasukkan ke dalam telinga seakan tidak rasa apa-apa. Ini memberikan keselesaan kepada saya untuk penggunaan jangka masa panjang.
Kemasan pod pengecas adalah jenis kusam, sementara pada setiap fon telinga seakan bergetah untuk cengkaman tambahan agar ia tidak terkeluar ketika sedang bersukan. EarGel dengan ShakeGrip pada saya adalah antara putik telinga yang sangat selesa, malah saya kini menjadikan Elite 8 Active sebagai TWS harian dan XM5 kini di dalam beg sahaja.
Masalah utama saya adalah pod pengecas yang tiada butang tambatan kerana semua terbina pada fon telinga. Ini menyebabkan Google Fast Pair atau Microsoft Swift Pair hanya boleh mengesan TWS ini selepas ia dikeluarkan tidak seperti TWS lain buka sahaja penutup akan terus bersambung kepada peranti.
KUALITI AUDIO
Seperti yang saya jangkakan, Elite 8 Active tidak mempunyai audio yang sendu sebaliknya semakin maju. Saya sukakan ciri Spatial Sound yang menjadikan audio lebih imersif seakan berada di ruangan tersendiri mendengar muzik tanpa sebarang gangguan. Walaupun begitu, ia bukanlah audio spatial seperti yang ditawarkan pada AirPods Pro yang boleh menjejak pergerakan kepala. Ia sekadar memberi pengalaman penggunaan baharu yang lebih menarik.
Sama seperti XM5 yang saya uji baru-baru ini, audio pada Elite 8 Active tidak memberikan reaksi mengejutkan kepada saya. Sebaliknya Jabra mengambil jalan selamat dan mengekalkan profil audio lebih kurang sama pada Elite 7 Pro atau Elite 85T yang sebelum ini menjadi kegemaran saya.
Bass pada TWS ini cukup seimbang dan mempunyai dentuman yang cukup rancak sehingga kaki saya menghentak ke lantai ingin menari mengikut rentak muzik. Vokal pula mempunyai kejelasan yang cukup bagus dan hampir adil antara penyanyi lelaki dan wanita. Highs pula tidak terlampau nyaring dan menjadikan irama setiap muzik kekal merdu.
Saya turut meminta bantuan audiophile di dalam pejabat iaitu Li Jin Soh, juruvideo kami dan beliau bersetuju audio elite 8 Active tiada yang mengejutkan selain hanya kekal memberi pendengaran yang tenang dan selesa..
Kualiti ANC pada TWS ini juga mengejutkan kerana menggunakan sistem hibrid tetapi seakan pembatalan hingar aktif sebenar. Ia berfungsi dengan baik, tiada kesan tekanan yang menyebabkan telinga tidak selesa malah masih boleh membatalkan banyak bunyi bising dan benar-benar membantu saya untuk fokus. Sokongan HearThrough sekali lagi pada hemat saya adalah antara mod tembus bunyi terbaik di pasaran kerana boleh mendengar perbualan orang di sekeliling tanpa ada gangguan bunyi statik.
Apa yang membuatkan saya kecewa dengan TWS ini adalah ia hanya menyokong codec AAC dan SBC. Ia tiada sokongan LDAC atau kemampuan memainkan fail lain walaupun harga sudah mencapai lebih RM1000. Menurut Jabra, mereka mahukan TWS mereka mudah digunakan oleh semua golongan pengguna tanpa risau mengenai tetapan audio seperti equaliser dan sebagainya.
APLIKASI DAN KAWALAN
Jabra Elite 8 Active boleh dikawal sepenuhnya dengan butang fizikal terbina pada setiap fon telinga. Butang yang lembut dan sedap ditekan. Malah apabila ditekan ia tidak menyebabkan telinga saya sakit kerana menjolok-jolok untuk menukar mod, mengawal muzik dan sebagainya. Kadangkala saya amat menghargai butang fizikal berbanding kawalan sentuhan yang tidak cukup sensitif dengan jari saya yang mudah berpeluh.
Semua kawalan Jabra Elite 8 Active adalah pada aplikasi Sound+ yang boleh didapatkan di App Store dan Play Store. Aplikasi ini mudah digunakan dan sangat ringkas seperti ada equialiser yang mudah untuk difahami dan dikawal, satu klik untuk ciri ANC, tekan sekali untuk audio spatial Dolby, serta turut menyokong penjejakan TWS jika hilang.
Jabra turut cuba memudahkan lagi semua pengguna menjadikan TWS ini lebih diperibadikan seperti menawarkan preset audio berbeza dengan ikon yang besar. Kemudian jika tidak ingin mendengar podsiar atau muzik, aplikasi Sound+ sedia mempunyai hingar putih untuk membantu fokus bekerja dan tidur.
BATERI
Ketahanan bateri TWS ini cukup memuaskan. Jabra mendakwa boleh bertahan sehingga 8 jam dengan ANC, 14 jam tanpa ANC dan mencapai sehingga 56 jam dengan pod pengecas. Dalam penggunaan saya, ia bertahan sekitar 7 jam tanpa memasukkannya fon telinga ke dalam pod pengecas dan boleh mencapai sehingga satu minggu untuk penggunaan yang ringan. Sokongan pengecasan pantas pula memberikan ketahanan sehingga 1 jam dengan 5 minit cas. Pengecasan nirwayar turut masih ada yang mana pada saya cukup baik dan membantu.
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Sepasang Jabra Elite 8 Active.
- 1x 2 pasang putik telinga tambahan.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
Apa yang saya boleh katakan mengenai Jabra Elite 8 Active ini adalah ia sepasang TWS yang cukup baik. Kualiti audio yang tidak mengecewakan, putik telinga yang sangat selesa dengan cengkaman yang bagus dan sangat tahan lasak. Masuk dalam air? Tiada masalah. Jatuh di tar? Tiada masalah.
Audio yang bagus dipadankan pula dengan ANC hibrid yang berfungsi dengan baik menjadikan Elite 8 Active TWS yang sesuai dengan semua orang. Cuma, harga RM1049 sukar untuk saya cadangkan kepada orang ramai kerana agak mahal berbanding pesaing yang menawarkan audio dan spesifikasi lebih baik pada harga bawah RM1000.
Pro
- Audio yang masih sedap kerana semuanya seimbang.
- Ciri Spatial Sound by Dolby satu bonus yang menarik.
- ANC walaupun hibrid adalah antara yang terbaik.
- Selesa di dalam telinga untuk penggunaan jangka masa panjang.
- Ada IP68 dan tahan lasak.
Kontra
- Tiada keunikan pada audio kerana seakan sama dengan model lama.
- Codec terhad kepada AAC dan SBC.
- Harga jualan yang agak mahal berbanding pesaing.