Cari @ Amanz

Selepas mengulas TWS kelas permulaan realme Buds Air 5 Pro sebelum ini, saya mengulasn. pula Sony WF-1000XM5. Akhirnya telinga saya “dicuci” dengan audio merdu, kualiti padu dan pembatalan hingar aktif yang benar-benar berfungsi.

Persoalannya adakah dua tahun penantian untuk WF-1000XM5 ini benar-benar berbaloi kerana ia adalah TWS dalam siri XM yang mempunyai reputasi audio yang baik. Untuk mengetahui lanjut, jemput baca ulasan ini sehingga habis.


SPESIFIKASI

Sony WF-1000XM5
JenisTWS, jenis dalam telinga
Pemacu Audio8.4mm
Dynamic Driver X
HD Noise Cancelling Processor QN2e
Integrated Processor V2
Mikrofon3x pada setiap fon telinga
Ciri BekerjaAdaptive Sound Control
Speak-to-Chat
Multipoint Connect
BateriKetahanan mencapai 24 jam
TambatanBluetooth 5.3
Google Fast Pair
CodecSBC, AAC, LDAC dan LC3
PengecasanUSB-C
Pengecasan nirwayar
Sokongan aplikasiSony Headphones (iOS, Android)
KawalanSesentuh
Butang tambatan pada pod pengecas
Kemampuan kalis airIPX4
Harga JualanRM1399

Sony WF-1000XM5 di atas kertas seperti yang dapat dilihat pada spesifikasi di atas adalah TWS yang hebat. Sony mendengar komen pengguna mereka dan melakukan perubahan yang drastik. Akhirnya dari segi rupa dan spesifikasi, ia benar-benar boleh bersaing dengan TWS premium lain di pasaran.

Seperti biasa, Sony menekankan kemampuan audio mereka serta kehebatan ANC. Dengan menggunakan pemacu audio baharu yang lebih besar, perisian dan algoritma yang lebih matang dan hadir dalam rekaan yang kompak dan cukup selesa – Sony membuktikan merekalah pengeluar audio yang patut anda pilih.

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Saya pernah cuba menggunakan WF-1000XM3 dan XM4 tetapi tidak menggemari kedua-duanya kerana saiz yang besar dan penggunaan yang kurang selesa. Rekaan baharu ini mirip Sony WF-C700N yang saya uji beberapa bulan lepas tetapi dengan kualiti yang lebih premium.

Putik fon telinga yang kecil ini nampak berbeza dengan kebanyakan TWS premium lain yang cuba menjadi AirPods Pro. Putik telinga menggunakan silikon jenis busa memori yang saiznya agak aneh kerana saya biasanya menggunakan saiz M, tetapi kali ini perlu menggunakan saiz S. Permukaan fon telinga juga lebih licin dan nampak berkilat. Sebelum menggunakannya ia nampak cantik dan kemas, tetapi ia memerangkap kotoran dan minyak dengan cukup mudah.

Pod pengecas juga bersaiz kompak. Ia hadir dengan kemasan kusam yang memberikan cengkaman. Di bahagian luar hanya ada lampu LED di depan, butang tambatan dan port USB-C di belakang. Penutup juga sedap dibuka dan ditutup. Dapat dirasakan binaan premium XM5 yang setanding dengan harga jualannya.

Di dalam telinga, WF-1000XM5 tidak begitu selesa untuk penggunaan jangka masa panjang kerana putik telinga jenis busa memori ini kasar. Selepas 30 minit telinga saya mula terasa sakit dan gatal-gatal. Ini menjejaskan pengalaman penggunaan saya kerana ia tidak mengasyikkan. Dalam hal ini penggunaan putik telinga jenis silikon yang lebih lembut dan licin seharusnya digunakan. Malang sekali Sony tidak menawarkan langsung putik telinga daripada bahan ini untuk XM5.

KUALITI AUDIO

Sejak OnePlus Buds Pro 2 dilancarkan sehingga hari ini, ia adalah TWS kegemaran saya dan juga audiophile di Amanz. Kami berdua setuju yang apa yang OnePlus lakukan pada TWS mercu mereka adalah satu percubaan terbaik dan berani. Bukan kualiti audio sahaja enak tetapi kemampuan pembatalan hingar aktif juga bagus. Jadi saya cuba membandingkan dengan WF-1000XM5, jelas sekali yang saya tunggu-tunggu tidak cukup padu.

Sony masih mengekalkan profil bunyi mereka yang memfokuskan kepada bass. Kali ini ia menggunakan pementasan audio yang lebih menegak dan dalam tetapi tidak cukup lebar, menyebabkan rasa rimas untuk muzik-muzik yang banyak instrumen. WF-1000XM5 masih mempunyai audio yang selesa dan sedap yang sesuai untuk semua orang untuk terus memakaiya selepas dibeli.

Bass TWS ini walaupun gempak ia tidak cukup rancak. Pada OnePlus Buds Pro 2 apabila mendengar muzik yang sama akan membuatkan saya terus ingin menghentak kaki. Sementara Sony membuat saya berkata “Oh, wow, hmmm.. ok. Bolehlah layan”. Dentuman bass TWS ini adalah jenis yang walaupun tidak puas tetapi masih seronok.

Vokal yang dihasilkan amat jelas dan merdu. Ia lebih kurang sama seperti pada OnePlus di mana suara penyanyi lelaki adalah lebih enak dan dalam berbanding wanita lembut serta sayu. Kelemahan paling jelas adalah pada nada tinggi. WF-1000XM5 ini tidak mempunyai butiran yang bagus dan ke arah nada lembut yang bunyi instrumen seperti gitar tidak mengasyikkan.

CIRI TAMBAHAN

Ciri paling penting iaitu pembatalan hingar aktif (ANC) pula bukan apa yang saya jangkakan. Saya berikan TWS ini kepada peminat produk audio Sony di pejabat dan minta membandingkan dengan OnePlus Buds Pro 2, beliau geram yang ANC pada OnePlus lebih baik. Saya cuba menaiki kapal terbang dengan WF-1000XM5 bunyi enjin menjadi kedap tetapi bunyi orang berbual termasuk suara pramugari dan suara bayi menangis masih kedengaran. Pada OnePlus Buds Pro 2, sebaik sahaja ANC dihidupkan ia seolah membawa pengguna ke dimensi lain tetapi Sony tersangkut di antara dua dunia. Ini seharusnya tidak berlaku kerana Sony mempunyai reputasi sistem ANC yang terbaik di pasaran.

Sony masih menyertakan ciri unik lain yang saya suka tetapi rasa menjengkelkan apabila ia aktif, iaitu Speak-To-Chat. Ciri ini bijak, kerana apabila saya khusyuk mendengar muzik dan ditegur penulis Amanz lain – muzik akan terus berhenti, mod tembus bunyi aktif dan suara saya serta suara rakan terus jelas kedengaran untuk berbual. Ia menjadi masalah apabila saya ingin cuba menyanyi sambil mendengar muzik kerana ciri ini akan ingatkan saya ingin berbual dengan orang. Nasib baik Speak-To-Chat boleh dimatikan menerusi aplikasi Sony Headphones untuk telefon pintar.

Ciri seperti menjawab panggilan telefon dengan hanya menganggukkan kepala adalah amat saya hargai. Kemampuan spatial audio pada TWS ini juga menarik tetapi masih tidak boleh menandingi apa yang Apple lakukan bersama Dolby Atmos.

APLIKASI DAN KAWALAN

TWS ini dikawal dengan sentuhan sahaja. Memang beberapa ciri aktif dengan mendengar suara atau pergerakan kepala tetapi untuk menjeda muzik, melangkau, mengaktifkan ANC dan sebagainya sentuhan sama ada sekali, dua kali atau sentuh dan tahan diperlukan. Dalam aplikasi setiap kawalan ini boleh diubahsuai sendiri oleh pengguna.

Bercakap mengenai aplikasi, Sony Headphones adalah aplikasi untuk mengawal produk audio paling kurang mesra pengguna pernah saya gunakan. Sejak WF-1000Xm3 sehingga hari ini rekaan antaramuka masih berserabut, tidak begitu teratur dan mengelirukan. Aplikasinya banyak bergantung kepada teks berbanding ikon dan grafik, kemudian banyak bar dengan tab berbeza dan tidak lupa juga ciri tambatan Google Fast Pair yang kerap gagal berbanding TWS lain adalah mengecewakan.

Tahap kesabaran anda dengan aplikasi ini bergantung kepada sama ada sukakan Sony ataupun tidak. Ketua editor saya di Amanz mengaku tidak mempunyai isu dengan aplikasi ini kerana beliau hanya menggunakan aksesori audio keluaran Sony sejak lebih 30 tahun yang lalu. Kesemua kekurangan yang saya katakan tadi bukanlah isu besar bagi beliau.

BATERI

Sony menyatakan bateri boleh bertahan sehingga 24 jam untuk dengan pod pengecas dan mencapai 12 jam untuk penggunaan secara berterusan. Dalam ujian saya, memang terbukti bateri WF-1000XM5 benar-benar lebih tahan berbanding biasa. Ia juga menyokong pengecasan pantas 3 minit cas bertahan untuk 3 jam, yang mana tidak sehebat pesaing tetapi saya bersyukur ia disertakan.

Masalah saya pada bateri TWS ini adalah, bateri yang tidak konsisten pada setiap fon telinga. Misalnya selepas dicas sehingga penuh, selepas memakai fon telinga kanan akan mempunyai bateri 90% sementara belah kiri adalah 85%. Saya jarang melihat isu ini pada TWS dalam kelas yang sama, jadi tidak pasti adakah masalah perisian atau Sony yang telus memaparkan status bateri yang sebenar.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Sepasang Sony WF-1000XM5
  • 1x Putik telinga busa memori SS, S, M dan L
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.

KESIMPULAN

Saya tidak menafikan yang Sony WF-1000XM5 adalah TWS yang bagus. Kualiti audio yang enak, ANC yang masih baik, ciri menarik yang seakan magis dengan rekaan yang sangat kecil dan selesa. Cuma harga RM1399 agak mahal untuk perubahan kualiti audio yang tidak seberapa berbanding pesaing. Dua tahun penantian dan hanya sekadar rekaan melalui perubahan drastik agak mengecewakan.

Harga pelancaran buat masa ini menjadikan WF-1000XM5 tidak berbaloi untuk dimiliki. Jika anda inginkan kualiti audio lebih baik dengan ANC yang lebih bagus, OnePlus Buds Pro 2 adalah alternatif baik yang berharga RM869 secara rasmi atau sekitar bawah RM700 daripada penjual pihak ketiga.

Saya rasakan baik tunggu sahaja sehingga hujung tahun kerana Sony akan memberikan potongan harga melampau sempena Hari Krismas nanti. Pada waktu tersebut XM5 boleh dibeli pada harga lebih murah dan membuatkannya lebih berbaloi.Anda sendiri tentukan, mahukan audio yang bagus sekarang tanpa ciri unik atau bagus nanti dengan ciri unik sedia terbina?


Pro

  • Saiz dan rekaan yang lebih kecil berbanding sebelum.
  • Kualiti audio dengan profil bunyi Sony yang konsisten.
  • Cubaan baik menawarkan putik telinga jenis busa memori.
  • Ciri unik seperti Speak-To-Chat dan mod tembus bunyi yang berfungsi dengan baik.

Kontra

  • Aplikasi tidak mesra pengguna.
  • ANC tidak cukup baik berbanding pesaing.
  • Sony tidak cuba menyertakan kemampuan audio siri IER mereka pada TWS.
  • Hanya IPX4, pesaing sudah IP54.
  • Harga kurang kompetitif.

Ulasan ini dijayakan oleh Li Jin Soh dengan penterjemahan dan teks tambahan Fahim Zahar

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd