Saya amat menggemari produk audio daripada pengeluar peranti Chinas seperti OnePlus Buds Pro 2. Tetapi saya lebih gemar apa yang dibawakan oleh realme dan Xiaomi iaitu produk audio premium pada harga yang berkali ganda lebih murah.
Baru-baru ini saya mencuba realme Buds Air 5 Pro yang berharga RM399. Ia adalah TWS mercu realme dalam siri Buds Air mereka. Menariknya pada harga yang mampu milik ini realme boleh sertakan LDAC, ANC, Spatial Audio dan banyak lagi. Persoalannya adakah TWS ini cukup bagus untuk anda?
SPESIFIKASI
realme Buds Air 5 Pro | |
---|---|
Jenis | Set fon telinga nirwayar sebenar |
Pemacu Audio | 11mm pemacu bass 6mm tweeter micko-planar |
Mikrofon | Jumlah – tidak didedahkan Jenis – Pembatalan Hingar UWB 4000Hz |
Pembatalan Hingar | Pembatalan Hingar Aktif (ANC) |
Bateri | Ketahanan mencapai 40 jam |
Tambatan | Bluetooth 5.3 Google Fast Pair |
Codec | AAC, SBC, LDAC |
Pengecasan | USB-C Pengecasan nirwayar |
Sokongan aplikasi | realme Linkl, iOS & Android |
Kawalan | Sesentuh |
Kemampuan kalis air | IPX5 (Fon telinga sahaja) |
Harga Jualan | RM399 (Sunrise Beige, Astral Black) |
realme tidak asing dengan penawaran pelbagai jenis produk audio. Siri Buds Air mereka adalah antara kegemaran kami kerana menawarkan audio yang elok dengan ciri menarik pada harga amat mampu milik. Tidak lupa juga usaha realme membangunkan ekosistem aksesori tersendiri melalui realme Link yang ada potensi. realme Buds Air 5 Pro adalah TWS mercu baharu mereka dan ia bukan apa yang saya jangkakan.
Spesifikasi Buds Air 5 Pro tidak dinafikan baik di atas kertas. Ia menggunakan dwi-pemacu audio mikro-planar dan bass, menyokong ANC, boleh memainkan audio nirhilang dengan LDAC dan aplikasi yang memberi pengguna kebebasan mengubahsuai kemampuan audio TWS ini.
REKAAN DAN PENGGUNAAN
Tidak dinafikan rekaan TWS ini mirip Apple AirPods Pro. Cuma realme menggunakan tangkai yang lebih panjang dan rata. Warna unit yang saya uji ini adalah Sunrise Beige iaitu sama dengan pilihan warna realme 11 Pro+ mereka. Kemasan pula adalah jenis berkilat yang mudah meninggalkan kesan kotoran minyak dan cap jari.
Rekaan pod pengecas juga nipis dan nampak menarik dengan penutup cukup berkualiti kerana menggunakan engsel yang bagus. Turut tersedia di sisi adalah butang tambatan berwarna perak yang cukup taktil. Setiap fon telinga menggunakan putik telinga silikon yang lembut seakan yang ditawarkan pada OnePlus Buds Pro 2 tetapi lebih nipis. Ia mudah dicabut untuk digantikan.
realme Buds Air 5 Pro turut mempunyai lampu LED di hadapan pod pengecas untuk menunjukan tahap bateri dan status tambatan. Di dalam telinga setiap fon telinga rasa selesa, tidak begitu tajam dan tiada masalah untuk penggunaan jangka masa panjang. Cuma apabila jari saya berpeluh, setiap fon telinga ini agak licin dan mudah terjatuh lalu mengotorkannya.
KUALITI AUDIO
Kualiti audio Buds Air 5 Pro ini tidak memberi reaksi sama ketika kali pertama saya mencuba Buds Air 2. realme seakan mengekalkan profil bunyi yang sama tanpa mengira kategori TWS mereka. Buds Air 5 Pro sepatutnya mempunyai kualiti audio lebih baik berbanding TWS lain mereka yang bukan “Pro”. Selain turut mempunyai ciri dan fungsi kustomasi yang benar-benar mengubah pengalaman pendengaran.
Sayang sekali kali ini Buds Air 5 Pro hanya memfokuskan kepada bass dengan mids yang tenggelam dan highs yang bersepah. Bass yang terlampau kuat menjadikan pengalaman pendengaran kurang mengasyikkan kerana tidak dapat menikmati muzik dengan penuh jiwa. Benar, realme menyatakan TWS baharu mereka ini semuanya tentang bass, tetapi kalau melampau ia tidak rasa rancak dan membosankan.
Ciri seperti Golden Sound untuk profil bunyi mengikut usia pengguna, Sounf Effect Modes untuk equialiser, serta Audio fit test seakan tidak memainkan peranan. Lebih mengecewakan fail audio LDAC apabila dimainkan seakan tiada beza dengan MP3.
Paling saya kecewa adalah kemampuan ANC. Apabila dimatikan ia lebih membatalkan hingar persekitaran berbanding apabila dihidupkan. ANC TWS ini seakan tidak berfungsi begitu juga mod tembus bunyinya yang lebih menenggelamkan suara orang berbanding sepatutnya ditingkatkan.
APLIKASI DAN KAWALAN
Buds Air 5 Pro boleh dikawal sepenuhnya dengan sesentuh pada tangkainya. Ia agak sensitif jadi semua kawalan mudah dilakukan walaupun ketika jari berpeluh. Beberapa kawalan seperti dwi-tap atau tap dan tahan semuanya tiada masalah.
Kawalan dan tetapan utama TWS ini adalah pada aplikasi realme Link atau jika menggunakan peranti realme ia terbina pada tetapan Bluetooth. Terdapat ciri Spatial Audio yang boleh dicuba tetapi saya tidak galakkan kerana tidak enak, ciri sambungan ke dua peranti serentak, equaliser, meningkatkan tahap bass dan banyak lagi. Antaramuka yang mesra pengguna, semua tetapan mudah diakses, termasuk kemaskini perisian.
Cuma saya tidak menggemari aplikasi realme Link yang mewajibkan pengguna daftar atau log masuk akaun realme untuk menggunakannya. Bukan itu sahaja, selepas log masuk kod pengesahan kerap ada masalah untuk diterima dengan prestasi aplikasi agak perlahan dengan acah meniru antaramuka aplikasi Apple Home.
BATERI
realme mendakwa TWS baharu mereka boleh bertahan sehingga 10 jam penggunaan berterusan dan mencapai 40 jam dengan pod pengecas. Dalam penggunaan saya, ia hanya bertahan sekitar 8 jam dengan pod pengecas yang terbukti tahan lama. Tiada sokongan pengecasan pantas tetapi setiap fon telinga mengambil masa 50 minit untuk dicas pada podnya. Pengecasan pod adalah dengan USB-C dan realme tidak menyertakan sokongan pengecasan nirwayar.
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Sepasang realme Buds Air 5 Pro.
- 1x 2 pasang putik telinga tambahan.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
realme Buds Air 5 Pro adalah untuk penggemar bass itu sahaja. Jika anda tidak hiraukan kejelasan audio, tahap high, mid, dan low untuk benar-benar menghargai karya artis ini adalah TWS yang baik. Ia juga sesuai untuk permua dan menonton kandungan video bertemakan aksi. Harga jualan RM399 yang padat dengan ciri dan fungsi TWS premium adalah baik untuk permulaan dan ingin mencuba sebelum suatu hari nanti memiliki Sony WF-1000XM5, AirPods Pro 2, OnePlus Buds Pro 2 atau Nothing Ear (2).
Pro
- Rekaan yang menarik dengan warna yang ceria.
- Fon telinga dengan silikon yang lembut dan selesa.
- Banyak ciri dan fungsi menarik setaraf TWS premium.
- Harga jualan yang kompetitif.
Kontra
- Kualiti audio yang tidak memuaskan.
- Aplikasi realme Link yang janggal.
- Banyak ciri dan fungsi lebih kepada gimik untuk memberi nilai.