Ulasan – Saya Kini Faham Mengapa Apple AirPods Pro Gen 2 Sangat Popular

Diterbitkan pada Okt 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pergi ke YouTube sekarang dan tonton video-video temuramah atas talian yang dilakukan dengan selebriti popular, penganalisa politik atau ahli politik yang dijemput untuk menyampaikan isu semasa. Dalam 80% situasi, anda pasti dapat melihat fon telinga putih dengan tangkai panjang pada telinga mereka.

Boleh dirumuskan pandemik Covid-19 adalah iklan percuma terbaik untuk Apple AirPods seperti mana ahli sukan popular menjadi duta percuma untuk Beats By Dre semasa sukan Olimpik Beijing 2008.

Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan AirPods popularitinya pasti membingungkan. Apa yang kerap kami dengar ialah AirPods menjual gaya dan bukannya kualiti audio sama seperti Beats by Dre.

Pada tahun 2022, AirPods Gen 3 yang kami ulas sebelum ini seakan mengesahkan teori di atas. Tetapi dengan AirPods Pro Gen 2, kini kami akhirnya faham mengapa AirPods Pro popular di kalangan pengguna TWS global.

Spesifikasi

Apple AirPods Pro Gen 2
JenisTWS dalam telinga
Pemandudua pemandu 11mm
Mikrofon6 mikrofon
Bateri6 /30 jam dengan pod dengan ANC
Port pengecasLightning
Pengecasan nirwayarQi/MagSafe
CODECAAC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa/Siri
Pad sesentuhYa 2X
Kemampuan kalis airIPX4
BluetoothBluetooth 5.3
Audio OfflineTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM 1099

AirPods Pro Gen 2 (akan ditulis sebagai Pro 2 sahaja selepas ini) mengekalkan rekaan putik audio dan pod simpanan yang sama seperti Pro asal. Rekaan yang sudah ikonik tidak perlu ditukar kerana cukup dikenali ramai sekarang. Putik telinga bujur dengan bahagian hujung silikon hadir dengan tangkai yang terjulur keluar dari telinga apabila dipakai.

Terdapat lubang udara pada putik audio untuk mengurangkan tekanan dalam telinga semasa dipakai. Sensor pengesan kulit juga berwarna hitam turut dikekalkan. Pada bahagian tangkainya pula terdapat pad tekanan yang digunakan untuk mengawal muzik dan mengaktifkan mod ANC/Ambient apabila diperlukan. Perbezaan tahun ini ialah pad tekan ini juga kini mempunyai sensor sentuhan untuk mengawal tahap kelantangan audio dengan ini dilakukan dengan menatal ke atas/ ke bawah.

Bahagian hujung silikon yang diberikan selesa di dalam telinga. Secara lalai hujung silikon bersaiz sederhana (M) dipasangkan pada putik audio. Apple menyertakan juga hujung silikon tambahan bersaiz XS, X dan L untuk pemilik mencari saiz yang paling serasi dengan lubang telinga. Keselesaan ini penting bagi memastikan Pods 2 boleh dipakai pada telinga tanpa terasa ia seperti disumbat dengan jari.

Tubuh putik telinga dan pod pengecas berwarna putih. Selepas enam tahun dipasarkan, Apple masih enggan menawarkan AirPods dalam warna selain putih. Jika warna adalah penting bagi anda, hanya AirPods Max hadir dengan pilihan warna yang lebih pelbagai pada waktu ini.

Pod pengecas juga nampak sama jika dilihat sekali pandang. Perubahan yang dilakukan adalah kecil tetapi mendatangkan kesan yang besar ke atas bagaimana Pro 2 digunakan. Terdapat tiga lubang di bawah bersebelahan port pengecas Lightning yang adalah untuk speaker terbina yang berbunyi apabila Pro 2 cuba dijejak menggunakan Find My.

Turut ditambah ialah lubang untuk mengikat tali lanyard pada sisi kanan. Butang menambat fizikal di bahagian belakang dan lampu LED juga masih di tempat yang sama. Bak kata pepatah jika rekaan lama sudah cukup bagus tidak ada sebab untuk menjadi tikus yang membaiki labu.

Kemasan putik audio dan bekas simpanan Pro 2 memang meneruskan tradisi kualiti tinggi AirPods sejak enam tahun yang lalu. Walaupun diperbuat daripada plastik ia masih kelihatan premium. Bahagian penutup cukup ketat untuk mengelakkan putik audio terkeluar secara tidak sengaja tetapi tidak terlalu ketat sehingga sukar dibuka. Kekuatan magnet pada bahagian dalamnya juga baik kerana putik audio mudah dikeluarkan tanpa perlu mencungkil dengan keras seperti pengalaman kami dengan Huawei FreeBuds Pro sebelum ini.

Pod tidak kalis air tetapi putik audio melepasi piawaian IPX4 yang membolehkannya dibawa bersenam. Tahap ketahanannya lebih rendah jika dibandingkan dengan Galaxy Buds2 Pro yang melepasi piawaian IPX7.

Secara keseluruhan rekaan Pro 2 adalah amat kemas, selesa, cantik, ergonomik dan tidak menyusahkan pengguna. Masih ada isu lama tubuh plastik berkilat digunakan. AirPods Gen 3 tang kami ulas beberapa bulan yang lalu sudahpun calar balar dan kami sudah dapat mengajak nasib yang sama turut akan menimpa Pro 2. Jika anda inginkan Pro 2 kekal berkilat, terdapat banyak kerangka silikon dan getah di pasaran yang boleh memberikan lapisan pertahanan tambahan.

Penggunaan

Pro 2 ialah TWS dengan hujung silikon paling selesa pernah kami ulas setakat in. Apabila diletakkan dalam telinga tidak terasa seperti lubang telinga sentiasa dikorek. Ini membolehkan Pro 2 dipakai selama beberapa jam tanpa disedari. Pengalamannya sama seperti AirPods Gen 3 cuma dengan ciri ANC yang lebih baik. Jika keselesaan yang anda cari pada TWS, Pro 2 boleh dimasukkan ke dalam senarai pendek yang perlu dipertimbangkan pembeliannya.

Pada peranti ekosistem Apple proses menambat ke iPhone, iPad, dan MacBook adalah semudah membuka penutup pod pengecas. Notifikasi beranimasi model 3D Pro 2 untuk menambat aksesori audio muncul pada skrin iPhone/iPad dan tekan tambat dan semuanya selesai. Tidak perlu memuat turun aplikasi tambahan hanya untuk AirPods. Pada MacBook pula notifikasi kecil akan muncul grafik tanpa animasi. Sekali lagi tekan sahaja dan tambatan dilakukan automatik.

Bagi pengguna ekosistem Apple, Pro 2 cukup bijak mengenali peranti-peranti yang anda milik. Tanpa perlu melakukan apa-apa, panggilan telefon boleh dijawab menggunakan Pro 2 walaupun pada waktu tersebut ia ditambat pada MacBook/iPad. Proses merubah multi peranti berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan.

Tanpa aplikasi khas, tetapan Pro 2 diubah menerusi skrin tetapan peranti atau skrin Bluetooth. Pemilik hanya boleh mengubah mod Spatial (Kekal atau menjejak kedudukan kepala), mengubah sensor tekanan (mematikan ANC, mod Ambient atau menyeru Siri) dan melakukan ujian kekedapan telinga (Ear Fit Test). Tiada pilihan mengubah tetapan lain. Dari segi ini, Apple tidak memberikan kebebasan kepada pengguna seperti Jabra, Samsung, Oppo, Xiaomi dan Huawei untuk mengubah tetapan TWS milik pengguna.

Pada Android, HarmonyOS, dan Windows dan proses tambatan memerlukan langkah tambahan menekan butang tambatan pada tubuh pod pengecas. Selepas ditekan beberapa saat dan lampu bertukar biru, Pro 2 akan muncul dalam senarai peranti Bluetooth. Tekan nama Pro 2 dalam senarai dan barulah ia boleh digunakan.

Sebuah lagi ciri baharu yang kami rasakan paling penting secara peribadi ialah ciri mencari Pro 2 apabila hilang menggunakan Find My pada peranti Apple. Kedudukan boleh dijejak dan apabila hilang pemilik boleh membuatkannya berdering. Bunyi deringan adalah cukup lantang sehingga masih boleh didengari walaupun tersorok di antara kusyen.

Pod mempunyai cip U1 yang membolehkan lokasinya dijejak menggunakan sistem Ultra Wide Band. Dalam Find My, arah Pro 2 dengan anggaran jarak akan diberikan secara masa nyata. Untuk menggunakan ciri ini iPhone dengan sokongan UWB diperlukan. Seperkara lagi yang kami rasakan menarik ialah selepas Pro 2 ditambat buat pertama kali kepada akaun Apple ID, hak milik tidak boleh dipadam tanpa pemilik menaip kata laluan. Oleh itu jika Pro 2 dicuri sekalipun, lokasinya akan dapat dijejak pemilik asal. Sistem anti pencuri ini cukup berkesan.

Kualiti Audio

Ulasan kualiti audio kami rasakan perlu diasingkan kepada dua dengan satu untuk ekosistem Apple dan satu lagi untuk ekosistem bukan Apple. Ini terpaksa dilakukan kerana terdapat perbezaan yang agak ketara.

Ekosistem Apple

Terdapat sokongan audio spatial dan menyokong audio pada kualiti yang baik menerusi Apple Music. Masih tiada sokongan nirhilang (lossless) kerana kekurangan pada teknologi bluetooth pada waktu ini. Secara lalai codec AAC digunakan oleh Pro 2 untuk menstrim muzik. Sokongan audio spatial yang bergerak mengikut kepala juga turu diberikan. Pada waktu ini setahu kami hanya AirPods dan HomePod menyokong audio spatial Apple Music.

Pentas bunyi adalah terbuka dibantu oleh putik telinga yang tidak menyebabkan terasa seperti telinga kedap tersumbat. Kekuatan Pro 2 pada hemat kami ialah bass yang dalam dengan treble yang terang. Nota tinggi seperti loceng jelas kedengaran tetapi akan hilang dalam lagu dengan jumlah instrumen yang banyak. Suara juga jelas tanpa ia tenggelam.

Dentuman bass yang dalam tadi tidak terlalu kuat sehingga menjadikan instrumen lain tenggelam. Ada keseimbangan dalam bunyi lebih-lebih jika muzik dengan adunan Dolby Atmos dimainkan. Prestasi audio adalah amat baik baik sebuah TWS tetapi sekali (dan ada orang mengatakan mungkin tidak adil) tidak sebaik fon kepala.

Sistem ANC juga antara yang terbaik untuk TWS pernah kami gunakan. Bunyi deruman kipas meja, pendingin hawa, anak bercakap di ruang tamu, filem yang ditayangkan di TV dan bunyi bising sekeliling boleh dihalang daripada menerobos telinga dengan cemerlang.

Mod tembus Pro 2 juga adalah yang terbaik pada sepasang TWS. Audio yang didengari adalah seperti telinga langsung tidak memakai Pro 2. Sehampir mungkin seperti semula jadi. Kami letakkan mod tembus Pro 2 setanding dengan Sony WH1000-XM5 yang juga cemerlang.

Pengesanan apabila putik telinga ditanggalkan juga pantas. Sejurus selepas ditanggalkan muzik dijeda dan bersambung semula automatik apabila dipasang. Pad sesentuh cukup responsif ketika ditatal untuk menukar kekuatan audio yang sedang didengari.

Luar Ekosistem Apple

Jika anda membayar RM1099 untuk sebuah TWS anda pasti berharap kesemua ciri boleh digunakan tetapi Audio Spatial, Find My, Ear Fit Test, mengubah tetapan butang fizikal dan mengemaskini firmware tidak boleh dilakukan. Ciri-ciri yang menjadikan Pro 2 menarik di ekosistem Apple tidak dapat digunakan langsung sehingga menjadikannya tidak berbaloi dimiliki.

Ini adalah pengalaman yang sama seperti yang kami alami pada Galaxy Buds2 Pro dan Huawei FreeBuds Pro. Ciri paling menarik eksklusif kepada pengguna ekosistem sahaja. Keputusan yang mengecewakan tetapi dengan AirPods mendominasi pasaran TWS dunia, Apple mungkin merasakan sokongan yang sempurna pada produk mereka sahaja sudah memadai.

Mikrofon

Mikrofon pada Pro 2 juga amat memuaskan. Panggilan telefon adalah jelas dan dalam sesi telesidang suara kami kedengaran semula jadi tidak robotik seperti pad TWS yang lain walaupun dengan ANC diaktifkan. Ini anda dapat lihat sendiri dalam puluhan video temuramah yang dilakukan ketika pandemik dan AirPods digunakan. Apakah rahsia Apple kami tidak tahu tetapi jelas mikrofon pada AirPods Pro 2 menawarkan rakaman audio yang sangat baik.

Bateri

Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas atau 6 jam dengan ANC/Spatial diaktifkan. Dalam pengguna dunia sebenar ia sebenarnya lebih hampir ke 5/25 jam kerana kami gemar mendengar muzik pada tetapan audio yang tinggi. Hayat bateri adalah memuaskan untuk perjalanan sederhana jauh.

Pengecasan semula mengambil masa sekitar dua jam menggunakan kabel Lightning. Pengecasan semula bole juga dilakukan menggunakan MagSafe atau pengecas Apple Watch. Ini adalah ciri berguna bagi pemilik iPhone yang mungkin tidak mempunyai kabel pengecas tambahan dan pengecas Apple Watch boleh digunakan. Pengecasan ini walau bagaimanapun lebih perlahan.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Apple AirPods Pro 2
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke Lightning
  • 3x Pasang hujung silikon tambahan.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Bagi pengguna ekosistem Apple, AirPods Pro 2 ialah TWS yang terbaik kerana prestasi audio yang baik, ANC yang terbaik dalam kelas, mod tembus terbaik dalam kelas, sokongan audio spatial dan paling serasi dengan kesemua produk Apple yang dimiliki. Ia adalah pilihan yang jauh lebih baik dan berbaloi berbanding AirPods Gen 3 yang tidak mempunyai ciri-ciri tambahan menarik. Pendek kata jika anda ingin menggunakan semuanya Apple, AirPods Pro 2 ialah pilihan yang tidak memerlukan anda berfikir panjang.

Kepada pengguna di luar ekosistem Apple pula, pengalaman tidak sama kerana audio spatial tidak disokong pada peranti Android atau Windows. Kawalan butang tidak boleh ditukar langsung. Apabila banyak ciri tidak disokong terasa rugi membayar RM1099 untuk hanya mengakses sebahagian ciri yang menjadikan AirPods Pro 2 unik. Ini ialah isu yang kami juga hadapi dengan produk Samsung, dan Huawei. Tidak adil jika kami mengkritik pengeluar lai tetapi tidak mengkritik Apple atas isu yang sama.

Kesimpulan untuk kesimpulan ini ialah beli jika anda pengguna Apple tegar. Jika anda bukan dalam golongan ini, terdapat TWS lain di pasaran dengan bunyi seakan sama tetapi boleh diakses lebih banyak ciri seperti Galaxy Buds2 Pro, Technics EAH-AZ60 dan Jabra Elite 7 Pro.

Pro

  • Rekan yang kemas dan sangat selesa dalam telinga.
  • Pengalaman audio yang memuaskan.
  • ANC terbaik dalam kelas.
  • Mod tembus terbaik dalam kelas.
  • Sokongan audio spatial
  • Kalis air IPX4.
  • Ciri Find My memudahkan ia dicari bila hilang.

Kontra

  • Sokongan pelbagai ciri yang paling menarik hanya pada ekosistem Apple.
  • Tiada LDAC pada peranti Android.
  • Masih menggunakan Lightning.
  • Masih hanya ditawarkan dalam warna putih.

komen


© Amanz / 2022 Kami