Sejak empat tahun yang lalu jika soalan “apakah fon telinga ANC paling berbaloi?” ditanya kepada kami, jawapannya ialah beli sahaja mana-mana di bawa keluarga Sony WH-1000XM. Sejak dikeluarkan lima tahun lalu dan kami cuba sendiri di IFA, ia menjadi pilihan kerana menawarkan pengalaman audio yang mantap, rekaan boleh lipat mesra perjalanan, ANC terbaik dalam kelas dan harga yang lebih munasabah berbanding yang ditawarkan oleh pengeluar lain seperti Bose.

Tiga tahun lalu kami akhirnya membeli sebuah Sony WH-1000XM3 menggantikan Sony H.Ear On 2 yang sudah mula lunyai selepas beribu kilometer menemani perjalanan merentas benua. Sepanjang pandemik XM3 menjadi peneman puluhan sesi telesidang dan mengurangkan gangguan ketika bekerja di rumah.
Kini ia juga suda hampir lunyai dan pelancaran Sony WH-1000XM5 baru-baru ini membuatkan saya tergerak untuk menggantikan XM3. Tetapi selepas hanya beberapa hari mengulas, kami merasakan XM5 bukanlah pengganti yang dinantikan dan sebenarnya mempunyai kekurangan berbanding model XM terdahulu.
Spesifikasi
Sony WH-1000XM5 | |
---|---|
Jenis | Fon telinga belakang tertutup |
Pemandu | 30mm Neodymium |
Mikrofon | 8 mikrofon |
Bateri | 30 Jam ANC/40 jam tanpa ANC |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | AAC, SBC,LDAC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya/Assistant dan Alexa |
Pad Kawalan | Ya/ 1 pad sesentuh |
Kemampuan kalis air | Tidak |
Harga Jualan | RM 1799 |
Kita mulakan dengan perkara positif terlebih dahulu iaitu rekaan. Sejak mula ditawarkan pada tahun 2017, rekaan fon kepala siri ini tidak banyak berubah. Hanya saiz span pada angkup, cawan telinga dan kemasan diubah tahun demi tahun. Masihkah anda ingat kemasan seakan kulit pada XM2 yang cantik tetapi kemudiannya mula robek selepas beberapa tahun menyebabkan XM3 menggunakan panel plastik kosong?
Ada pepatah mengatakan Mona Lisa tidak perlu ditambah baik cuma perlu dijaga dengan rapi untuk tatapan generasi akan datang. Untuk interasi ke lima, Sony akhirnya menawarkan XM5 dalam rekaan serba baharu yang cukup drastik perbezaannya.

Laras angkup kepala sekarang menggunakan batang yang bergerak bukan angkup plastik. Sambungan cawan telinga juga kini hanya satu sahaja pada bahagian atas, bukan lagi dua pada bahagian sisi. Span pada angkup juga lebih besar dengan cawan telinga juga lebih besar. Menurut Sony rekaan ini akan memberikan keselesaan kepada pemakai.
Dalam hal ini kami bersetuju dengan Sony kerana XM5 ialah fon siri ini yang paling selesa pernah kami gunakan. Selalunya telinga mula rasa akan berpeluh selepas beberapa jam, pada XM5 ini tidak berlaku. Tekanan pada atas kepala dan rahang yang sudah menjadi lumrah apabila menggunakan XM3 juga tidak lagi alami pada XM5. Tahap keselesaan XM5 adalah di dalam kelasnya tersendiri pada waktu ini dan adalah lebih memuaskan berbanding AirPods Max.

Tetapi demi keselesaan ini satu ciri ikonik siri XM telah dikorbankan. XM5 tidak lagi boleh dilipat kecil untuk penjimatan ruang apabila disimpan di dalam beg. Angkup telinga hanya boleh dikecilkan dengan darjah putaran cawan telinga juga lebih terhad.
Kami mempunyai isu yang besar dengan pilihan rekaan ni kerana penjimatan ruang adalah PENTING sewaktu melakukan tugasan ke luar negara. Beg sandang yang dibawa masuk ke dalam kapal terbang akan dipenuhi beberapa pengecas, komputer riba, tablet, telefon ganti, powerbank, dokumen perjalanan dan satu persalinan pertukaran kecemasan.

XM3 yang kami gunakan selama ini boleh dimasukkan ke dalam beg simpanan yang kecil. Saiz beg simpanan XM5 adalah sekitar 30% lebih besar. Nampak seperti pertambahan saiz yang tidak ketara tetapi sebagai seorang wartawan setiap mililiter ruang dalam beg adalah diperlukan. Sepanjang tempoh ulasan ini kami terpaksa mengubah semula susuan isu beg seperti Leon S Kennedy menyusun inventori barangan di awal Resident Evil 4.
Dengan tempah simpanan yang besar anda mungkin akan mengagak lebih banyak aksesori akan diberikan secara percuma tetapi anda silap. Hanya seutas kabel 3.5mm dan pengecas USB-A ke USB-C diberikan. Penyesuai dwi-kepala bicu 3.5mm untuk kegunaan dalam kapal terbang tidak lagi diberikan secara percuma. Kenapa tidak diberikan sahaja sedangkan ia aksesori perlu untuk menggunakan fon kepala dengan sistem hiburan dalam kapal terbang. Poket jaring di luar beg simpanan juga tidak dikekalkan.

Satu perkara positif dengan beg simpanan kali ini ialah ia boleh disimpan rata di dalam beg apabila ia kosong. Terdapat alur lipatan seakan origami pada sisi yang mengurangkan saiz beg sehingga 40% apabila disimpan rata.
Yang mengurangkan kekecewaan ialah kemasan XM5 yang terasa lebih premium. Busa pada pad telinga dan kepala terasa amat lembut berbanding model terdahulu. Pemakaian selema enam jam sekalipun tidak mendatangkan sebarang ketidakselesaan. Laras angkup kepala juga terasa lebih mantap seperti yang kami alami semasa menggunakan AirPods Max.

Kami mempunyai teori rekaan baharu XM5 ini adalah usaha Sony untuk memberikan persaingan kepada AirPods Max dan Bose 700 dalam segmen fon kepala ANC premium. Untuk bersaing mereka perlu menawarkan sesuatu yang hampir serupa sehingga meninggalkan identiti tersendiri. Kami faham mengapa ia dilakukan tetapi kami masih kecewa.
Perubahan turut dilakukan pada saiz pemandu audio yang kini sebesar 30mm dengan binaan gentian karbon menggantikan pemandu 40mm pada XM4. Pemandu baharu ini menurut Sony akan menawarkan audio yang lebih jelas.

Satu lagi perubahan yang mungkin tidak disedari ramai ialah tiada lagi sokongan NFC. Sebaliknya ini digantikan sepenuhnya dengan sokongan Google Fast Pair. Izinkan kami merungut lagi kerana NFC memudahkan kami bertukar-tukar tambahan dengan pantas antara peranti Android. Sentuh sahaja logo NFC dan XM3 akan hidup sebelum ditambat ke telefon Android. Ketiadaan ciri ini membuatkan proses menggunakan XM5 pada awalnya canggung.
Penggunaan dan Perisian
Hidupkan fon kepala untuk kali pertama dan skrin Google Fast Pair akan muncul pada skrin telefon Android selepas beberapa saat. Ikut arahan yang diberikan untuk melakukan tetapan Google Assistant dengan segera. Pengguna kemudian disarankan memuat turun aplikasi Sony Headphones bagi mencari versi perisian yang terkini.
Kami sarankan aplikasi Headphones dimuat turun kerana tutorial menggunakan XM5 serta mengubah tetapan hanya boleh dilakukan dari aplikasi ini. Antara ciri yang boleh diubah ialah mematikan mod ANC, mengaktifkan mod Ambience, menambah kepada dua peranti serentak dan ciri Talk-to-Speak.

Perisiannya bagus dan memberikan pelbagai tetapan yang diperlukan termasuk EQ. Pasang dengan segera kerana sekiranya tidak XM5 tidak akan dapat digunakan pada prestasi yang sebenar.
Semuanya bagus kecuali pada satu perubahan yang dilakukan pada perisian XM5. Sony menggantikan audio cue “Power on” dan “Power off” dengan bunyi digital yang agak mengelirukan kali pertama fon kepala digunakan. Satu berbunyi “du du dooot”. Satu lagi berbunyi “di di duu”. Hampir sama bunyinya sehingga mengelirukan.

Tambah mengelirukan apabila berada di kawasan yang bising kerana mendengar audio “power on” adalah lebih jelas berbanding “du du doot”. Audio lain untuk pembantu maya anda pengaktifkan ANC/ambient masih lagi dikekalkan. Kenapa ditukar kalau audio que yang digunakan selama ini sudahpun sempurna.
Persoalan yang sama ingin kami sampaikan kepada Sony. Siapa yang meminta perubahan-perubahan yang regresif pada XM5 ini? Apabila soalan ini ditanya kepada 5 pemilik XM3 dan XM4 di pejabat tidak ada seorangpun yang mengaku pernah meminta perubahan-perubahan ini dilakukan.
Kualiti Audio
Audio ialah subjektif. Ini perlu dijelaskan di awal segmen ulasan ini kerana apa yang akan anda baca selepas ini mungkin boleh dianggap kontroversi. Kami mengulas XM5 dari sudut pandangan pemilik XM3 sejak dua tahun lalu dan ikhlas kami katakan kualiti audio XM5 adalah mmmmmengecewakan. Lima kali M selari dengan nama XM5.

Kenapa mengecewakan? Pada hari pertama ia dipasang ke telinga ia terasa agak flat. Bunyi Sony yang selalunya padu menumbuk gegendang telinga sehingga tertanggal tahi telinga hilang. Jika EQ yang menguatkan bass dipilih dalam aplikasi ia menjadi terlalu kuat pula. Tidak ada bunyi bass pertengahan yang menjadi sebab utama mengapa kami cukup suka dengan siri Sony XM sejak ia mula dipasarkan.
Kami sudah menggunakan fon kepala Sony sejak berumur 2 tahun lagi. Selepas 40 tahun telinga dibiasakan dengan profil audio Sony, kami inginkan bass yang kuat, treble yang jelas yang nyaring serta pengasingan bunyi yang baik walaupun pada kelantangan audio yang tinggi. Ini ialah definisi kami sebagai “The Sony Sound” sejak sebelum mumayyiz hinggalah sudah kubur kami mari sekarang.

Bagi mereka ingin membeli XM5 mengharapkan profil audio yang sama atau lebih baik berbanding XM3 kami rasakan anda akan kecewa. Malahan apabila XM5 diberikan kepada 5 rakan pemilik XM4 dan XM3 yang kami katakan tadi, kesemuanya mengatakan bunyi XM5 terasa seperti turun taraf. Perubahan profil audio yang dilakukan sungguh tidak kami gemari di pejabat Amanz Media.
Kami ada membaca ulasan dari laman lain yang memuji peningkatan audio pada XM5 tetapi maaf kami tak dapat mendengar apa yang mereka katakan ini. Ini bukan isu fon kepala yang diulas kerana kami mempunyai dua unit XM5 untuk diulas (satu lagi untuk laman Inggeris kami Nextrift). Pengalaman audio yang sama juga berlaku pada unit kedua ini. Jika kami seorang tak suka ia mungkin anomali tetapi semua yang menggunakannya di pejabat sebulat suara menyatakan kekecewaan.

Kelebihan yang ada hanya dapat kami dengar apabila mendengar lagu instrumen klasik, akustik, vokal dan muzik moden pasca 2020. Pengalaman audio yang terbaik juga bergantung pada sumber muzik. Lagu yang sama di YouTube Music, Spotify dan Apple Music memberikan pengalaman berbeza dengan Apple Music yang terbaik sekali. Sistem DSEE yang sepatutnya meningkatkan kualiti audio pada XM5 pada hemat kami tidak memberikan sebarang perbezaan yang ketara.
Kami akui pengasingan audio pada XM5 memang jauh lebih baik berbanding XM3 tetapi untuk ciri-ciri lain kami merasakan XM3 adalah lebih serasi dengan telinga kami. Sekali lagi diulang audio adalah subjektif. Dalam hal ini kami tidak bersetuju dengan ulasan laman dan YouTuber yang mengatakan XM5 lebih baik daripada XM4.
ANC
Audio tidak serasi dengan telinga kami tapi ANC pada XM5 ialah yang terbaik pernah kami gunakan. Di pejabat kami tidak dengar apabila nama dipanggil. Rakan di pejabat yang berbual atau sedang menghadiri sesi telesidang boleh dibisukan secara menyeluruh. XM5 boleh membisukan dunia hingar dengan cukup berkesan. Kekuatan sebenar XM5 adalah mode ANC yang terbaik dalam kelasnya setakat ini.

Tiada perasaan seperti telinga ditekap dengan tekanan pada gegendang seperti pada AirPods Max yang jauh lebih mahal. Kami tidak bersetuju juga dengan ulasan di luar sana yang mengatakan ANC pada AirPods Max lebih baik. Tetapi ini bukan kali pertama ulasan ini tidak bersetuju dengan pendapat ulasan lain mengenai XM5 cuma kali ini ialah adalah positif.
Tekap tangan pada cawan kanan dan Quick Attention Mode terus diaktifkan. Yang menariknya dengan ciri ini ialah secara automatik terasa seperti fon kepala ditanggalkan dari kepala. Bunyi dari luar kedengaran semula jadi tanpa sebarang halangan. Ini ialah sistem tembusan audio yang paling mantap pernah kami lihat pada sebarang aksesori audio di pasaran khususnya pada fon kepala closed back.
Mikrofon
Mikrofon yang digunakan juga amat baik apabila digunakan untuk melakukan panggilan telefon atau sesi telesidang. Bunyi latar dibisukan dengan baik tetapi suara anda masih lagi jelas didengari oleh insan yang ditelefon. Kekurangan hanyalah kualiti mikrofon masih belum cukup memuaskan untuk rakaman podsiar atau video.
Bateri
Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 30 jam dengan sekali caj yang sama dengan XM4. Ini adalah dengan ANC diaktifkan. Tanpa ANC ia meningkat ke 40 jam. Sepanjang tempoh ujian, XM5 bertahan lebih lima hari dengan sekali caj pada tetapan audio sederhana. Ini adalah tempoh hayat yang amat baik kerana boleh digunakan untuk perjalanan dari Malaysia ke Eropah atau Los Angeles sebanyak dua kali.
Pengecasan semula mengambil masa 3.5 jam menggunakan port USB-C yang dibekalkan. Tetapi menerusi pengecas Power Delivery, penggunaan selama 3 jam boleh dinikmati selepas pengecasan selama 3 minit sahaja. Isu kami hanyalah kabel pengecas USB-A ke USB-C yang dibekalkan adalah sepanjang 15 cm sahaja. Amat pendek sehingga tidak praktikal.

Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Sony WH-1000XM5.
- 1x Beg menyimpan fon kepala.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Kabel audio 3.5mm.
- Manual.
Kesimpulan
Ulasan sudah terlalu panjang kerana terlalu banyak benda yang perlu kami sentuh. Kesimpulannya ialah beli XM5 jika anda memerlukan fon kepala premium yang selesa dipakai untuk tempoh yang lama, dilengkapi sistem ANC terbaik di pasaran dan ketahanan bateri sehingga tiga hari dengan sekali caj. Pengasingan audionya juga lebih baik berbanding XM3 serta ada sokongan mod menjeda muzik automatik apabila ditanggalkan dari kepala.

Jangan beli jika anda mengharapkan peningkatan audio dari XM3 atau XM4. Audio ialah subjektif tetapi di Amanz kami tidak begitu gembira dengan profil audio baharu yang digunakan. Oleh itu XM5 ialah fon kepala pertama Sony yang boleh disamakan dengan marmite. Fon kepala yang tidak boleh dilipat kecil bersama dengan bekas simpanan lebih besar juga kami lihat sebagai langkah ke belakang.
Pada harga RM1799 ini ialah fon kepala yang cukup mercu dan premium. Ia tidak memberikan peningkatan yang begitu ketara dengan XM4 dan oleh sebab itu sukar untuk menyarankan pembeliannya pada harga sekarang. Tunggu beberapa bulan lagi untuk harganya turun atau pilihan lebih baik sekarang ialah beli XM4 yang ada ditawarkan pada harga serendah RM999 sahaja sekarang.
Pro
- Rekaan baharu lebih moden dan menarik.
- Amat selesa dipakai selama berjam-jam lamanya.
- ANC terbaik pernah kami gunakan.
- Hayat bateri yang amat baik juga.
- Sokongan perisian yang cukup sempurna.
- Mod tembus seperti fon kepala tidak dipakai.
Kontra
- Audio adalah langkah ke belakang bagi kami.
- Tidak boleh dilipat dan beg simpanan kini lebih besar.
- Kabel pengecas diberikan amat pendek.
- Audio que baharu mengelirukan.
