Cari @ Amanz

Tahun lepas, saya berikan skor ulasan pada OnePlus Buds Pro sebanyak 9.3/10 kerana berpuas hati dengan kualiti audio dan ciri yang disertakan. Hari ini, OnePlus Buds Pro 2 dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM869, iaitu RM90 lebih mahal. Adakah kualiti audio lebih baik atau sebaliknya?

Saya telah menjadikan OnePlus Buds Pro 2 sebagai TWS harian selama tiga minggu. Mengejutkan, kualiti audio adalah lebih baik dan memuaskan. Beza yang tidak banyak, tetapi pengalaman mendengar muzik dengan TWS ini adalah lebih mengasyikkan.


Spesifikasi Dan Rekaan

OnePlus Buds Pro 2
JenisFon dalam telinga
Pemacu Audio11mm woofer + 6mm tweeter
MelodyBoost Dynaudio
ANC – pembatalan hingar aktif pintar
Mikrofon3x mikrofon dengan algoritma AI anti-angin
CodecLHDC 4.0 (5.0 melalui kemas kini perisian akan datang)
AAC, SBC, AC3
SensorAuto jeda
Pengesanan leher dan tulang belakang
Bateri60mAh fon telinga
520mAh pod pengecasan
9 jam
39 jam dengan pod pengecasan
TambatanBluetooth 5.3
Google Fast Pair
Dual Connection untuk peranti OnePlus
PengecasanUSB-C
Nirwayar Qi
Sokongan aplikasiHeyMelody untuk peranti bukan OnePlus
KawalanSesentuh
Kemampuan kalis airIP55 – fon telinga
IPX4 – pod pengecasan
Harga JualanRM869

Walaupun rekaan nampak lebih kurang sama dengan model lalu, komponen dalamannya telah dipertingkatkan. Pertama adalah pada pemacu audio yang kini menggunakan dua pemacu gabungan 11mm+6mm yang mempunyai penalaan MelodyBoost Dynaudio. TWS mercu OnePlus baharu ini turut menyokong LHDC 5.0, iaitu jawapan kepada LDAC – cuma buat masa ini hanya menyokong LHDC 4.0 kerana 5.0 hanya akan tiba dalam kemas kini akan datang.

Cip Bluetooth pula adalah BT 5.3 LE for Audio, dengan mempunyai sensor tambahan untuk mengesan kedudukan kepalan dan tulang belakang untuk posisi duduk yang elok. Tetapi ciri ini sekali lagi hanya akan diberikan dalam kemas kini perisian di masa akan datang. Kali ini, OnePlus Buds Pro 2 turut menyokong Dual Connection untuk semua peranti OnePlus sahaja.

OnePlus Audio ID 2.0 turut ditambah pada TWS kali ini untuk menetapkan profil audio agar kualiti audio disesuaikan mengikut setiap individu. Kemudian Zen Mode Air turut diperkenalkan untuk mendengar bunyi yang menenangkan jika pengguna ingin meditasi.

Rekaan OnePlus Buds Pro 2 seperti saya katakan tadi masih sama dengan model lalu. 90% tiada beza, kecuali pada fon telinga yang menggunakan sensor lebih besar dan bahan putik telinga yang lembut memberi keselesaan tambahan. Tubuh kerangka pengecasan masih nipis dan bahagian luaran nampak kemas kini dengan kemasan lembut. Ia bukan dari bahan berkilat yang mudah calar dan kotor. Engsel di luar menggunakan warna hitam. Turut kelihatan adalah port USB-C, lampu LED di depan dan ukiran teks OnePlus berwarna hijau.

Untuk fon telinga, sekilas pandang nampak seperti AirPods Pro. Tetapi tangkai pada versi Arbor Green menggunakan dwi tona yang berkilat membezakan dengan bahagian utama fon telinga. Masih menggunakan kawalan sentuhan dan kemasan yang cukup mencengkam agar kekal di dalam telinga. Sokongan IP55 turut disertakan pada fon telinga dengan IPX4 pada kerangka pengecas.

Kualiti Audio

Kualiti audio Buds Pro 2 adalah lebih seimbang dan mantap berbanding model terdahulu. Ia turut kedengaran lebih padat kerana silikon yang lembut dan tidak menyebabkan audio terkeluar. TWS OnePlus kali ini adalah TWS kedua terbaik pernah saya uji selepas Jabra.

Bass/Lows

Bass pada OnePlus Buds Pro 2 adalah antara yang terbaik untuk TWS, kerana mempunyai impak yang baik. Setiap dentuman cukup rancak sehingga kaki juga ingin dihentak mengikut rentak. Jika pada TWS sebelum bass terlampau kuat dan tiada definisi. Penyampaian bass adalah lebih seimbang serta terkawal. Bass juga tidak mengganggu mana-mana muzik yang didengari sekaligus memberikan pengalaman yang memuaskan,.

Vokal/Mids

Sama seperti sebelum ini, suara penyanyi lelaki adalah lebih enak berbanding wanita. Setiap vokal jelas kedengaran cukup dalam dan merdu. Suara penyanyi wanita masih ke arah yang lembut sehingga agak tipis, sayu sahaja – menjadikan TWS mercu OnePlus ini sesuai mendengar muzik penyanyi lelaki dengan suara dalam atau bass yang banyak. Sementara muzik nyanyian wanita adalah genre pop atau yang tidak melibatkan instrumen banyak untuk vokal yang lebih jelas.

Nada Tinggi/Highs

Juga masih mempunyai profil audio yang sama dengan model terdahulu. Nada tinggi mungkin tidak begitu tinggi dan capai pada tahap yang memuaskan. Tetapi butiran dan kejelasan padanya membuatkan saya teruja, lebih-lebih lagi pada instrumen. Walaupun sudah ada pemacu audio tweeter 6mm, woofer 11mm masih memainkan peranan paling besar menjadikan tweeter pada TWS ini seakan dipinggirkan.

Pementasan Audio & Pengasingan

OnePlus Buds Pro 2 jika dilihat pada graf audio, menggunakan profil bunyi-V. Dengan dwi-pemacu MelodyBoost Dynaudio, pementasan audio adalah cukup lebar dan luas. Tetapi keseluruhan bunyi masih seakan rapat di kepala pengguna, yang menjadikan pendengaran muzik bass pada jangka masa panjang atau menstrim video aksi yang banyak letupan boleh cepat rasa lemas atau penat.

ANC, Mod Tembus Bunyi Dan Lain-Lain

OnePlus sekali lagi menggunakan sistem pembatalan hingar pintar. Walaupun dipasarkan sebagai ANC Adaptive Noise Cancellation, wakil OnePlus menyatakan TWS mercu mereka sebenarnya adalah Active Noise Cancellation yang menyokong pembatalan hingar aktif dengan kawalan pintar. Ini adalah untuk ketahanan bateri yang lebih lama.

Walaupun bukan yang terbaik, OnePlus Buds Pro 2 cukup untuk saya jika ingin fokus menulis artikel tanpa gangguan di pejabat. Mod tembus bunyi yang sederhana memuaskan untuk saya mendengar teguran majikan dan rakan sepejabat.

Mikrofon

OnePlus Buds Pro 2 masih lagi menggunakan tiga mikrofon pada setiap fon telinga dengan algoritma AI tersendiri. Algoritma ini adalah untuk memastikan tiada gangguan bunyi angin dan saya boleh sahkan, dakwaan OnePlus ini benar kerana ketiga menerima panggilan suara menggunakan TWS ini suara saya jelas didengari oleh si pemanggil.

Bukan itu sahaja, menggunakan bersama OnePlus 11 5G ad aplikasi perakam suara yang cukup baik untuk pelbagai mod seperti mesyuarat, temuramah atau biasa. Saya masih terkejut dengan kemampuan mikrofon yang memastikan vokal sentiasa jelas dan tiada hingar.

Bateri

Menurut OnePlus, TWS ini menawarkan tempoh penggunaan sehingga 39 jam dengan kerangka pengecas dan mencapai 9 jam untuk penggunaan secara terus. Sementara cas pada kadar 10 minit boleh bertahan untuk 10 jam. Sokongan pengecasan nirwayar turut disediakan untuk memudahkan pengguna. Dalam penggunaan selama tiga minggu, saya boleh katakan tempoh penggunaan dunia sebenar adalah setanding dengan yang diiklankan.

Aplikasi Dan Kawalan

Memandang sepanjang penggunaan OnePlus Buds Pro 2 saya gunakan bersama OnePlus 11, tiada aplikasi diperlukan kerana semua ciri dan fungsi serta kawalan sedia terbina dalam Oxygen OS melalui tetapan Bluetooth. TWS ini sedia menyokong Google Fast Pair untuk tambatan yang mudah dan pantas. Ciri unik padanya adalah sokongan audio spatial, yang kualitinya adalah tidak bagus dan ada sela masa kecuali untuk mendengar podsiar.

Golden Sound kedengaran seperti berfungsi kerana boleh menetapkan profil audio mengikut kemampuan pendengaran pengguna, tetapi tidak banyak beza pu apabila saya cuba dengan dua profil berbeza dari dua individu berbeza.

Kawalan utama pada TWS ini adalah dengan sentuhan yang mana boleh diubah dalam tetapan. Kawalan juga adalah responsif dan berfungsi dengan baik walaupun dengan tangan berpeluh. Kemampuan auto jeda juga bagus dan pantas sebaik sahaja fon telinga dikeluarkan dari telinga pengguna.

Dalam tetapan, ada banyak ciri ditawarkan termasuk penala yang berguna. Saya hanya gunakan mod Balanced kerana menawarkan pengalaman pendengaran yang paling enaik berbanding mod lain.

Yang mengecewakan ialah ciri LHDC 5.0 dan Soundscape Hanz Zimmer hanya akan diberikan menerusi kemas kini yang masih belum diberikan tarikh bila akan diberikan. Akibatnya produk terasa seperti separuh masak dan kurang lengkap.

Jika pengguna tiada peranti OnePlus, aplikasi HeyMelody boleh digunakan dengan ciri dan fungsi yang hampir sama. Cuma pada peranti Samsung yang saya ulas misalnya tiada sokongan untuk mod LHDC dan Spatial Audio.

Untuk pengalaman audio yang terbaik peranti OnePus diperlukan. Ini adalah trend semasa yang dilakukan oleh semua pengeluar. Ciri terbaik AirPods Pro hanya boleh dinikmati di iPhone, diri terbaik Buds2 Pro hanya pada peranti Samsung dan ciri terbaik FreeBuds Pro hanya pada peranti Huawei. Terpulang kepada pengguna untuk memilih ekosistem yang mana paling serasi dengan keperluan mereka.

Dalam Kotak

Ini adalah kandungan dalam kotak dengan setiap pembelian OnePlus Buds Pro 2.

  • 1x OnePlus Buds Pro 2
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
  • 3x Putik telinga saiz berbeza
  • 1x Manual

Kesimpulan

OnePlus Buds Pro 2 pada hemat saya ialah TWS terbaik selepas Jabra Elite 7 Pro yang pernah saya uji di Amanz. Sehingga hari ini saya menggunakan TWS ini sahaja sebagai aksesori audio harian, kerana puas hati dengan kualiti yang mantap. Selesa di telinga, padat dengan ciri dan fungsi menarik dan mesra pengguna. Cuma agak mengecewakan sudah tiga minggu menggunakannya, banyak ciri masih belum tersedia kerana hanya akan diberikan dalam kemas kini akan datang.

Harga RM869 mungkin mahal untuk sesetengah orang. Tetapi harganya adalah lebih lebih kurang dengan AirPods Gen 3 dan lebih murah daripada AirPods Pro 2. Jika AirPods adalah penanda aras harga, OnePlus Buds Pro 2 ini adalah lebih murah. Dengan audio yang memuaskan, rekaan menarik yang selesa, padat dengan ciri menarik – ini adalah TWS mercu untuk Android yang patut anda miliki.


Pro

  • Audio yang cukup mengasyikkan.
  • Rekaan yang ringkas dan selesa.
  • Mikrofon berkualiti yang jelas.
  • Bateri tahan lama dan menyokong pengecasan pantas.
  • Harga menarik untuk TWS mercu.

Kontra

  • ANC tidak cukup memuaskan.
  • Banyak fungsi menarik belum boleh digunakan.
  • Audio spatial masih tidak boleh menandingi Apple.
  • Memerlukan ekosistem OnePlus untuk menikmati ciri yang lengkap.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd