Semua platform sekarang ingin ada ciri seakan Stories yang dipopularkan oleh Snapchat. Ciri yang dahulunya dianggap sebagai tidak begitu berguna ditiru oleh Twitter, Instagram dan Telegram. Terbaru Google juga terjebak dengan konsep Stories ini kerana menyertakannya pada Google Play Store.
Ya, gudang aplikasi utama untuk memuat turun aplikasi di Android ini akan mempunyai ciri seakan Stories yang diberi nama The Play Report. Ia dihadkan untuk pekerja Google sahaja pada waktu ini. The Play Report adalah kandungan video pendek mengenai laporan aplikasi yang sedang popular.
Setiap video akan disampaikan oleh pekerja Google sendiri, pembangun aplikasi atau pempengaruh. Ia adalah sebahagian daripada siri Our Monthly Picks, New on Play dan program Teacher approved. Video akan dipaparkan pada bahagian atas Play Store dengan antaramuka mirip Shorts pada YouTube.