Sebelum ini kami laporkan China akan mengharamkan penggunaan iPhone serta peranti yang dikeluarkan syarikat asing daripada digunakan oleh penjawat awam mereka. Tidak terhad di situ, peranti-peranti ini turut tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pejabat. Hari ini Bloomberg melaporkan pengharaman peranti bukan jenama tempatan akan dikembangkan pula ke agensi, organisasi dan syarikat-syarikat milik kerajaan.
Pada waktu ini tidak diketahui apakah agensi dan syarikat milik kerajaan yang akan menguatkuasakan arahan ini. Laporan hari muncul sehari selepas Amerika Syarikat mengumumkan ingin menyiasat cip Kirin 9000s yang digunakan pada Huawei Mate 60 Pro dan Mate 60 kerana dipercayai menggunakan teknologi yang diharamkan.
Perang teknologi antara China dan Amerika Syarikat menyebabkan Huawei, ZTE dan DJI dimasukkan ke dalam senarai entiti oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat. Akibatnya Huawei yang dahulunya adalah pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia kini tidak lagi berada dalam senarai lima terbesar. Jualan cip kecerdasan buatan AMD dan NVIDIA kepada China juga telah dihalang atas sebab keselamatan negara. Tindakan China ini boleh dilihat sebagai membalas kepada apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat – sekaligus membawa kepada fasa baharu dalam perang dagangan antara kedua-dua negara ini.