Carian
China Haramkan Penjawat Awam Menggunakan iPhone
September 6, 2023 Effi Saharudin

China kini mengharamkan penggunaan telefon pintar iPhone dan yang dikeluarkan oleh negara luar daripada digunakan oleh penjawat awam menurut laporan WSJ. Selain tidak lagi boleh digunakan, iPhone dan peranti keluaran negara luar juga dilarang di bawa masuk ke dalam pejabat mereka bertugas.

Setakat ini hanya peranti Apple sahaja disenaraikan tetapi senarai peranti keluaran negara luar tidak pula diketahui. Ini dilihat sebagai tindakan balas oleh China terhadap negara Barat yang mengharamkan pemasangan aplikasi TikTok pada peranti pintar yang diberikan oleh kerajaan kepada penjawat awam. Selain itu Amerika Syarikat juga telah memulakan usaha untuk mengharamkan operasi TikTok di negara mereka atas alasan keselamatan.

China ingin mengurangkan pergantungan kepada teknologi dari luar dan ini adalah antara langkah awal yang telah dimulakan. Langkah mereka adalah sama seperti yang baru sahaja dilakukan oleh Rusia yang juga mengharamkan penggunaan iPhone oleh penjawat awam.

Perang dingin antara China dan Amerika Syarikat telahpun menyebabkan Huawei kehilangan kontrak 5G sehingga kelengkapan mereka diharamkan di beberapa negara EU dan akan dibuang pula oleh Jerman dalam masa terdekat.

Komen