Cari @ Amanz

Semalam kami telah melaporkan bahawa sejumlah nama model cip pemprosesan Intel Meteor Lake telah tertiris bersama dengan beberapa butiran mengenai cip pemprosesan tersebut.

Terkini, melalui laman web mereka sendiri, Intel telah mengeluarkan sebuah artikel mengenai bagaimana mereka menggunakan teknologi Foveros untuk membina CPU yang hadir dengan rekaan ciplet, menggabungkan beberapa siri cip didalam satu SoC, seperti apa yang dilakukan oleh Apple dan juga AMD.

Didalam pautan tersebut juga ada diperlihatkan sebuah video yang kini telah ditarik balik yang menunjukkan rekaan penuh cip pemprosesan Intel Meteor Lake, yang memperlihatkan cip memori LPDDR5X-7500 oleh Samsung terbina didalamnya, dengan konfigurasi 16GB, sepertimana yang diperlihatkan pada cip Apple Silicon M1 dan M2.

Konfigurasi penuh CPU yang diperlihatkan tidak diberitahu, tetapi ia tidak mengejutkan sekiranya semua cip pemprosesan Intel Ultra akan hadir dengan pelbagai jenis konfigurasi memori terbina bergantung kepada model CPU.

Kelebihan dengan cip pemprosesan seperti ini dapat diperlihatkan dimana pembangun peranti boleh memuatkan ruang tambahan ini dengan komponen lain seperti bateri ataupun komponen penyejukan yang lebih menyeluruh. Ini juga akan membolehkan cip pemprosesan ini digunakan dalam lebih banyak rekabentuk peranti, seperti tablet dengan rekaan Microsoft Surface dan sebagainya.

Akan tetapi, jika mana-mana komponen dalam SoC ini menghadapi masalah, ia juga akan menyebabkan peranti tersebut tidak boleh digunakan terus, kerana komponen tersebut perlu ditukar, walaupun hanya jika cip memori yang bermasalah.

Intel dijangka akan memperkenalkan produk ini secara sepenuhnya di acara Intel Innovation tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd