Meta kini dalam perancangan membangunkan kecerdasan buatan (AI) generasi baharu yang mempunyai kemampuan setanding dengan GPT-4 menurut laporan Wall Street Journal. Pembangunannya akan dimulakan pada Q1 2024 menggunakan infrastruktur mereka sendiri.

Dalam usaha membangunkan kecerdasan buatan baharu ini, Meta telahpun membeli lebih banyak cip NVIDIA H100 yang pada waktu ini adalah cip melatih AI yang paling berkuasa di pasaran. Apabila beroperasi kelak, Meta tidak lagi perlu menggunakan infrastruktur Microsoft Azure yang mereka gunakan sekarang.
Mark Zuckerberg nampaknya mula memberikan lebih banyak tumpuan kepada AI selepas usaha awal dunia metamesta mereka gagal mendapat perhatian orang ramai. Sebelum ini muncul laporan Meta ingin mengintegrasikan lebih banyak ciri AI pada produk mereka seperti WhatsApp dan Instagram. Mereka juga telah membangunkan AI yang boleh melakukan alih bahasa kesemua bahasa dunia secara masa nyata.
Meta menyertai Google, Samsung, dan Apple membangunkan model bahasa raya (LLM) baharu untuk AI kerana ia kini dilihat sebagai teknologi yang perlu bagi menarik perhatian pengguna.
- Sumber
- Wall Street Journal