Beberapa bulan lepas Razer BlackShark V2 Pro telah dilancarkan. Ia adalah set fon kepala khusus untuk pemain permainan video yang aktif dalam arena e-sukan. Harga jualan adalah RM1099 dan ia padat dengan ciri dan fungsi tetapi tidak semua mampu memilikinya. Terbaru, Razer BlackShark V2 HyperSpeed telah dilancarkan iaitu versi lebih murah dengan spesifikasi lebih kurang sama.
Kabel sepanjang 1.8 meter sedia terbina, menyokong sistem pengasingan hingar, pemacu audio jenis dinamik 50mm, codec SBC, mikrofon HyperClear Super Wideband Mic, sambungan 2.4 GHz, Bluetooth atau USB dan menggunakan cawan telinga busa memori. Razer turut menyatakan set fon kepala mereka hanya 280 gram dan ianya ringan agar boleh memastikan pemakai kekal selesa dan kepala tidak rasa berat.
BlackShark V2 HyperSpeed turut mempunyai tombol kawalan aras suara, butang bisu dan butang RazerSwitch untk menukar mod sambungan. Razer turut mengekalkan THX Spatial Audio, ketahanan bateri boleh mencapai 70 jam dan tiada sebarang sistem lampu RGB.
Harga jualan adalah RM729 dan terhad kepada warna hitam sahaja. Jika anda tertanya apakah beza utama antara versi Pro dan yang ini adalah mikrofon tidak boleh tanggal, bahan binaan cawan telinga yang sedikit berbeza dan menyokong sambungan berwayar.