Hari ini 11 September 2023 ialah ulang tahun ke-22 tragedi serangan ke atas World Trade Center dan Pentagon di Amerika Syarikat. Bagi generasi Millennial dan ke bawah, serangan 9/11 adalah insiden yang meninggalkan impak yang besar pada memori ketika membesar.
Berlaku perubahan yang amat ketara dalam kehidupan seharian kita semua sebelum dan selepas tiga pesawat komersial digunakan sebagai senjata pemusnah yang meragut 2996 nyawa. Walaupun sudah hampir suku abad berlalu, impak serangan 9/11 masih dapat dilihat sehingga sekarang.
Sistem Keselamatan Lapangan Terbang Dipertingkatkan.
Sebelum 9/11 sistem keselamatan di lapangan terbang adalah ketat tetapi lebih santai. Adalah normal untuk tiba sejam lebih awal di lapangan terang kerana proses memasukkan bagasi dan melepasi sistem keselamatan boleh dilakukan dengan pantas.
Pasca 9/11 pergi ke lapangan terbang tiga jam lebih awal sudah menjadi norma biasa. Proses memeriksa tubuh dan bagasi di pintu masuk menjadi semakin ketat sehingga boleh mengambil masa hampir lebih sejam. Jika kami ke Amerika Syarikat pula, sudah menjadi kebiasaan “dipilih secara rawak” untuk diperiksa dengan lebih teliti oleh agen Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA). Disuruh pergi ke bilik saringan sekunder sebelum bahagian sulit tubuh dipegang di khalayak ramai. Proses yang 20 tahun lalu hanya dilalui oleh individu yang benar-benar disyaki adalah penjenayah kini dilalui sesiapa sahaja yang kulitnya tidak putih dan nama seperti beragama Islam.
Pra 9/11 menanggalkan tali pinggang, jam tangan, mengeluarkan dompet dan mengimbas peralatan elektronik boleh dikatakan jarang dilakukan. Kini di lapangan terbang seperti Changi wujud mesin konveyor yang menggerakkan barangan yang perlu diimbas dengan lebih efisien serta mesin menghidu bahan letupan untuk penerbangan luar negara. Osama Bin Laden sudah 12 tahun mati dibunuh SEAL Team 6 tetapi dunia masih dihantui oleh beliau sehingga sekarang.
Normalisasi Pemantauan Dan Pengenalan E2EE
Pemantauan kehidupan seharian oleh pihak berkuasa berlipat ganda di hampir semua negara khususnya Amerika Syarikat. Di “Negara Paling Bebas di Dunia” ini, Akta Patriot dikuatkuasakan kurang dua bulan selepas serangan dan kekal sehingga 2020. Ia memberikan kuasa kepada kerajaan untuk melakukan intipan ke atas warga negara atas sebab-sebab keselamatan. Dengan kuasa yang besar ini hak warganegara A.S khususnya yang beragama Islam telah dilanggar seperti Singapura oleh todak.
Ini secara tidak langsung meningkatkan rasa takut orang ramai bahawa diri mereka diawasi oleh Abang Besar persis novel Orwell. Tindakan yang diambil oleh pengeluar aplikasi dan peranti ialah memperketatkan sistem sekuriti peranti. Penggunaan sistem penyulitan hujung-ke-hujung E2EE meningkat pasca 9/11 serentak dengan sistem penyulitan data pada peranti. Pihak berkuasa cukup benci dengan kedua-dua sistem ini sehingga UK ingin menguatkuasakan RUU yang menghalang kerentanan sekuriti ditampal jika ia digunakan pihak berkuasa untuk mengintip individu tertentu.
Atas sebab “keselamatan” FBI juga pernah memaksa Apple memberikan akses kepada iPhone milik suspek serangan pengganas di San Bernadino. Apple enggan bekerjasama sehingga FBI menggunakan khidmat syarikat penggodam untuk mengakses peranti tanpa kebenaran pemilik. Bermula dengan premis menghalang “pengganas”, kerajaan beberapa negara lain didapati menggunakan perisian intipan seperti PEGASUS untuk melanggar hak asasi musuh politik, ahli NGO, aktivis, dan wartawan. Semua ini dapat dikesan susur galurnya ke serangan 9/11.
Populariti Teori Konspirasi Meletus
Teori konspirasi adalah subgenre yang dahulunya diminati oleh sebilangan kecil individu yang tidak ingin percaya dengan jawapan rasmi yang diberikan oleh pihak berkuasa. Insiden UFO Roswell, pendaratan di Bulan, pembunuhan JFK, MH653, dan kematian Puteri Diana adalah antara topik teori konspirasi yang popular. Tetapi 9/11 menjadi pemangkin kepada generasi baharu peminat teori konspirasi sehingga merebak ke peringkat global.
Ramai yang mengemukakan teori 9/11 tidak dirancang oleh Osama Bin Laden tetapi sebaliknya oleh Illuminati yang ingin memulakan Orde Baharu Dunia. Pentagon didakwa diserang dengan peluru berpandu dan wujud juga teori mengatakan penyerang 9/11 masih hidup dan adalah ejen CIA/Mossad. Ia sungguh popular sehingga “bahan api jet tidak boleh meleburkan besi” menjadi meme yang agak popular selama sedekad. Dokumentari Loose Change mungkin adalah video viral paling awal dengan ia dikongsi jutaan kali menerusi Limewire dan Torrent.
Kini setiap kali berlaku insiden yang besar, teori konspirasi mengenainya akan disebarkan dalam masa yang singkat menerusi media sosial. MH370 adalah antara mangsa teori konspirasi aneh seperti pesawat diculik oleh makhluk asing, dirampas menggunakan alat kawalan jauh dan disedut oleh jin laut. Semakin pelik teori yang dicipta, semakin galak pula ia disebarkan kerana boleh dijadikan konten menjana pendapatan media sosial.
Media Mementingkan Kepantasan Bukan Ketepatan
Perubahan paling besar yang kami sedari sendiri ialah bagaimana media beroperasi pasca 9/11. Kerana kejadian berlaku secara langsung di hadapan ratusan juta penduduk dunia, ia telah mengubah bagaimana insiden besar dilaporkan kepada orang ramai. Ini amat ketara khususnya dalam laporan media atas talian. Orang ramai lebih mementingkan visual khususnya video berbanding dalam bentuk penulisan. Tunjuk lebih baik daripada tulis.
Media atas talian yang tumbuh bagai cendawan juga berpusu-pusu ingin menjadi yang pertama melaporkan berita terkini. Etika kewartawanan diterajang ke tepi demi mendapatkan pembaca awal. Amalan lapor dahulu semak kemudian telah menjadi kanser yang menyebabkan kredibiliti media mula terhakis.
Dalam keghairahan melaporkan berita paling terkini 9/11, beberapa media utama dunia tersilap melakukan laporan. Apabila laporan ditarik semula ia dijadikan bukti oleh peminat teori konspirasi yang kami sebutkan tadi bahawa kerajaan cuba menyorokkan kebenaran daripada orang ramai.
Ini hanyalah sebahagian kecil impak serangan 9/11 kepada dunia. 19 individu yang melakukan serangan pada hari ini 22 tahun yang lalu ingin menunjukkan bahawa Amerika Syarikat bukanlah negara yang kebal daripada serangan. Ia adalah balasan kepada polisi Amerika di Timur Tengah sejak berakhirnya Perang Dunia Pertama. Tujuannya mungkin untuk membuka mata dan membebaskan dunia daripada cengkaman Barat yang diketuai Amerika. Tetapi sebaliknya berlaku dengan dunia menjadi semakin tidak stabil dan kebebasan semakin disekat.