Cari @ Amanz

Devialet ialah jenama audio premium yang cukup terkenal dari Perancis yang memperlihatkan pembesar suara Devialet Mania yang berharga RM4500.

Terkini, mereka telah tiba dengan fon telinga TWS baru, iaitu Devialet Gemini II, yang merupakan generasi kedua Devialet Gemini mereka. Fon telinga ini hadir dengan sejumlah penambahbaikan bukan sahaja dari segi kualiti audio dan juga rekaan.

Devialet Gemini II memperlihatkan rekaan fon telinga 22 peratus lebih kecil, dan rangka pengecasan yang juga 40 peratus lebih kecil berbanding model sebelumnya. Ia juga tampil dengan beberapa pilihan tip telinga, dari saiz XS, S, M dan juga L. Rekaan tip telinga ini juga telah diperbaiki untuk membolehkannya digunakan dengan pelbagai bentuk lubang telinga.

Diantara beberapa penambahbaikan lain yang diperlihatkan pada fon telinga ini termasuklah dari segi pembatalan bunyi hingar aktifnya, ataupun Active Noise Cancelling (ANC). Dengan Gemini II, fon telinga ini juga hadir dengan pembatalan hingar adaptif, dimana ciri ini akan diaktifkan berdasarkan bunyi hingar persekitaran, kedapan fon telinga dan lain-lain.

Ia juga hadir dengan dua mikrofon yang membantu mengurangkan kadar bunyi hingar, dan dikatakan mampu memadamkan bunyi angin walaupun anda menggunakan fon telinga ini dalam mod transparency.

Fon telinga ini juga mempunyai aplikasinya tersendiri yang dinamakan Gemini, dan dengan aplikasi tersebut anda boleh mengubahsuai tetapan seperti kualiti bunyi, pintasan pada kedua-dua belah fon telinga, memuat-turun kemaskini dan lain-lain.

Dari segi sambungan, fon telinga ini menyokong teknologi sambungan Bluetooth 5.2 yang membolehkan fon telinga ini disambungkan ke beberapa peranti sekaligus dan juga Google Fast Pair jika anda menggunakan peranti pintar Android.

Dari segi bateri, fon telinga Devialet Gemini II ini juga dikatakan hadir dengan jangka-hayat pengecasan penuh 22 jam, dimana fon telinga ini sahaja mempunyai jangka-hayat penuh 5 jam dengan fungsi ANC diaktifkan. Rangka pengecasan Devialet Gemini II juga boleh dicas menggunakan kabel USB-C ataupun pengecasan nirwayar melalui Qi.

Fon telinga Devialet Gemini II kini sudah boleh dibeli melalui pengedar tempatan Atlas Sound & Vision pada harga RM2199 dalam pilihan warna Iconic White dan Matte Black, ataupun dalam edisi terhad Opera de Paris pada harga RM3190.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd