Carian
Ulasan Xiaomi 13T Pro – Lensa Leica, Harga Xiaomi
September 26, 2023 Effi Saharudin

Awal tahun in Xiaomi 13 dan Xiaomi 13T Pro dipasarkan sebagai telefon Xiaomi dengan kamera Lecia pertama di Malaysia. Di ruangan komen ramai di kalangan pembaca mengeluh kerana dengan harga jualan RM3499 untuk Xioami 13 dan bermula RM4599 untuk Xioami 13 Pro ianya dikatakan terlalu mahal untuk peranti yang dikeluarkan oleh syarikat yang mencipta nama dengan peranti mampu milik. Pada harga semahal ini, lebih baik beli iPhone atau Samsung kata anda.

Xiaomi 13T Po ialah sebuah lagi peranti dengan kamera Leica tetapi pada harga yang lebih mampu milik. Ia adalah Redmi K60 Ultra versi global dengan perubahan pada kamera utama. Ulasan ini akan menjawab persoalan adakah masih berbaloi memilikinya atau beli sahaja dua peranti yang disebutkan di atas.

Baca – Ulasan : Xiaomi 13 Adalah Si Kecil Yang Luar Biasa [/sumber]

SPESIFIKASI

Xiaomi 13T Pro
Skrin6.67″ AMOLED.
1220 x 2712 pixel, 144Hz, Dolby Atmos
PemprosesDimensity 9200+ (4nm)
Cip1 X 3.35 GHz Cortex X3
3 X 3.0 GHz Cortex A715
4 X 2.0 GHz Cortex A510
Cip GrafikImmortalis-G715 MC11
RAM12/16 GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256/512GB/1000GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/1.9(Telefoto)
Kamera Swafoto20 MP f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / eSIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 2499 (12/256GB)
RM 2699 (12/512GB)
RM 3499 (16/1000GB)

SKRIN

Sejak dua tahun kebelakangan ini kami cukup sukakan skrin pada peranti Xiaomi kerana sokongan Dolby Vision. Ciri ini jarang sekali ditawarkan oleh pengeluar Android kerana memilih menawarkan sokongan HDR10+ sahaja. Kami lebih gemarkan profil warna Dolby Vision yang nampak sinematik. Skrin 6.67″ OLED peranti ini menyokong juga kadar segar semula 144Hz yang tinggi. Hasilnya tatalan terasa amat lancar dan pantas membuatkan pengalaman memang terasa seperti sebuah peranti mercu sebenar.

Skrin adalah dari jenis rata yang cuku kami gemari kerana kandungan tidak meleleh keluar. Ia juga mempunyai bezel yang sekata membuatkan “wajah” peranti nampak seimbang. Warna nampak hidup dan tiada isu menggunakan peranti di bawah matahari yang terik.

Tiada isu memaparkan kandungan Dolby Vision dan HDR10+ pada 13T Pro kerana terdapat DRM yang diperlukan. Walaupun peranti belum dilancarkan secara rasmi, kandungan Netflix boleh distrim pada tetapan HD dan Dolby Vision tanpa sebarang isu.

Bonus kami berikan kepada sistem haptik skrin yang juga amat cemerlang. Setanding dengan sistem haptik pada iPhone yang menjadi standard yang perlu dicapai pada peranti pintar moden.

PENGIMBAS CAP JARI Dan BIOMETRI

Pengimbas cap jari terbina di bawah skrin pada kedudukan yang cukup tinggi untuk memudahkannya mengimbas ibu jari kiri dan kanan walaupun peranti digunakan sebelah tangan. Ia dari jenis optikal yang pantas menyahkunci peranti. Kami tidak mengalami sebarang isu sepanjang tempoh 10 hari mengulas peranti. Bagi yang tidak suka menggunakan pengimbas cap jari, terdapat juga sistem imbasan wajah yang pantas namun ia tidak beroperasi dengan baik dalam keadaan gelap.

Pengimbas ini turut mempunyai ciri sekunder sebagai pengimbas nadi. Letakkan sahaja jari dan nadi jantung akan dibaca dalam masa sekitar 15 saat. Bacaan adalah agak tepat konsisten dengan bacaan pada jam tangan pintar yang kami pakai pada pergelangan tangan.

REKAAN

Rekaan peranti ini sama sahaja dengan Redmi K60 Ultra tanpa sebarang perubahan yang drastik. Kerana ia pada awalnya direka untuk Redmi, maka tidaklah mengejutkan ia kelihatan sedikit “murah”. Dimulakan dengan panel kulit vegan di belakang yang terasa bergetah dan melekit. Kami kurang gemar memegang panel ini kerana sangat tidak selesa. Bahagian bingkai logamnya pula diperbuat daripada bahan yang tidak berkilat.

Akibatnya peranti tidak nampak seperti sebuah peranti mercu yang premium. Sebelum ini kami ulas Realme 11 5G yang dijual pada harga RM1199. Peranti mampu milik nampak dan terasa lebih mewah di dalam tangan. Memang jelas perbezaan dengan kemasan pada 13 Pro yang diperbuat daripada kaca serta nampak mewah. Perkara positif yang boleh kami berikan ialah kemasan yang terasa melekit membuatkan peranti tidak terasa licin.

Bonggol kamera pada bahagian belakang agak besar tetapi tidak mengganggu. Ia cuma tidak nampak cantik keran terlalu berkotak dengan sisi tajam. Nasib baik Xiaomi memberikan kerangka silikon yang boleh menutup panel belakang dan mengurangkan ketajaman bonggol kamera.

Butang laras audio dan kuas terletak di sisi kanan sementara di bawah pula terdapat talam SIM, port pengecas USB-C dan salah satu speaker stereo. Di atasnya pula terdapat sebuah lagi speaker, mikrofon dan pemancar IR untuk alat kawalan jauh. Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh yang kalis air serta debu IP68 yang hanya seberat 204 gram.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – MIUI 14.0.8

Sistem operasi MIUI 14.0.6 dengan Android 13 digunakan tidak seperti 14.0.11 yang digunakan pada Xiaomi 13 Pro. Agak aneh model baharu tetapi versi MIUI lebih lama digunakan. Ini selepas peranti dikemaskini beberapa hari yang lalu. Yang kami sukakan ialah pada versi ini tidak ada aplikasi gendut yang mencuri ruang, isu notifikasi tidak berbunyi juga tidak berlaku dan penggunanya adalah amat lancar.

Walaupun peranti masih belum dilancarkan lagi, tiada isu memuat turun Netflix dari Play Store dan menstrim kandungan HD Dolby Vision. Pada peranti dengan cip Dimensity ini ada isu Netflix tidak boleh dimuat turun kerana dikatakan tidak serasi.

Sepanjang tempoh ulasan kamu gunakan ciri Memory Extension dengan 6GB memori maya. Terdapat pilihan 4GB, 8GB dan mematikannya terus jika tidak diperlukan. Peranti yang diulas mempunyai 12GB RAM LPDDR5X yang pantas. Aplikasi boleh dipasang juga dengan pantas kerana storan UFS 4.0. Proses menukar aplikasi boleh dilakukan sekelip mata.

Sepanjang tempoh dua minggu peranti diuji, ia terasa pantas, lancar, tiada isu memasang aplikasi dan terdapat penambahan ciri-ciri yang menarik. MIUI 14 dengan Android 13 mungkin adalah iterasi yang terbaik setakat ini. Tiada kekurangan pada sistem operasi ini jika dibandingkan dengan Samsung One UI atau Oppo ColorOS.

PENANDA ARAS – Dimensity 9200+

Cip Dimensity 9200+ tidak banyak digunakan pada peranti di pasaran Malaysia. Ia merupakan penambahbaikan kep[ada Dimensity 9200 yang digunakan pada Vivo X90 Pro. Cip ini dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 8 Gen 2.

Mari bandingkan prestasi Xiaomi 13T Pro dengan Xiaomi 13 Pro (Snapdragon 8 Gen 2), Galaxy S23 Ultra (Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy), OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), Vivo X90 (Dimensity 9200) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Xiaomi masih menghalang akses kepada 3D Mark untuk digunakan maka hanya ujian Geekbench 6 dan Antutu 3D sahaja mampu dilakukan oleh makmal Amanz. Keputusannya adalah seperti di bawah.

Geekbench 6

  • Xiaomi 13T Pro – 1284/3520
  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Xiaomi 13T Pro – 1,431,444
  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

3D Mark Wild Life Extreme

  • Xiaomi 13T Pro – Tiada
  • Xiaomi 13 Pro – Tiada
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
  • OnePlus 11 – 3712
  • Vivo X90 – 3176
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Skor yang dicatatkan dalam Geekbench 6 agak jauh jurangnya dengan Snapdragon 8 Gen 2. Namum dalam ujian Antutu 3D sebaliknya pula berlaku. Kami boleh katakan dalam penggunaan sehari serta aplikasi popular kami tidak dapat merasakan perbezaan langsung. Peranti beroperasi dengan amat lancar.

Apabila menjalankan permua sekali lagi Dimensity 9200+ cemerlang dengan COD Mobile, Genshin Impact dan Mobile Legends boleh dimainkan pada tetapan paling tinggi. Selepas 6 pusingan perlawanan atas talian COD Mobile peranti hanya sekadar suam. Di sini Snapdragon 8 Gen 2 mempunyai kelebihan kerana langsung tidak memanas dalam penggunaan yang sama.

Dimensity 9200+ hanya menjadi sedikit panas apabila menggunakan aplikasi kamera. Siapa sangka memproses gambar akan membuatkan 13T Pro menjadi panas dan bukannya sesi permua yang panjang.

TELEFONI Dan GPS

Sambungan ke rangkaian 5G CelcomDigi kami gunakan selama 10 hari. Bagi yang sudah menggunakan eSIM, 13T Pro boleh menggunakannya. Pada waktu yang sama dua SIM nano fizikal juga disokong. Panggilan telefon adalah jelas dengan sokongan VoLTE dan VoWiFi. WiFi 7 membolehkan capaian internet yang pantas jika anda memiliki modem dan langganan talian yang menyokongnya. Hanya GPS sahaja kami rasakan sedikit kurang konsisten. Kadang kala pantas kadang kala perlahan. Pernah juga tidak memberikan lokasi yang tepat.

KAMERA

Kamera pada 13T menggabungkan sensor 50MP 1/1.28″ sudut lebar dengan OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 50MP telefoto. Ini perubahan berbanding Redmi K60 Ultra yang menggunakan sensor 50+8+2 MP. Perbezaan antara 13T dan 13 Pro pula ialah sensor 1″ lebih besar dan sensor 50MP ultra sudut lebar pada 13 Pro.

Perubahan lain ialah terletak pada perisian kamera. Hanya mod Leica Authentic dan Leica Vibrant ditawarkan. Tiada lagi Leica Black and White. Kamera mempunyai ciri standard seperti mod malam, potret dan panorama.

Dalam situasi pencahayaan yang baik gambar diambil adalah terang, jelas dan tajam. Gambar dari lensa sudut lebar 50MP khususnya mempunyai imej yang sangat tajam. Dalam mod Leica Vibrant imej dengan warna yang lebih menyerlah akan diambil. Tetapi jika anda mahukan imej yang nampak lebih asli kami sarankan mod Leica Authentic.

Kekuatan kamera Xiaomi 13T Pro dengan lensa Leica terletak warna dan keperincian pada imej khusus pada lensa sudut lebar. Kami sedari apabila menggunakan lensa ultra sudut lebar imej nampak lebih lembut kerana sensor 12MP lebih kecil dan tiada sokongan OIS. Ini mendatangkan impak pada mod malam yang tidak sebaik Xiaomi 13 Pro. Harus kami katakan dari segi kualiti imej memang 13 Pro adalah lebih naik kerana penggunaan sensor 1″ Sony.

Berikut adalah sampel gambar dalam mod malam. Xiaomi tidak cuba menerangkan kesemua bahagian gambar seperti yang dilakukan Huawei dan Samsung. Hasilnya imej malam nampak sedikit gelap berbanding kamera dua pesaing tadi.

Mod zum pula adalah sehingga 20X sahaja yang tidaklah begitu menakjubkan. Lensa telefoto akan digunakan apabila melakukan zum melebih 2X. Harus kami katakan kualiti zum pada 13T Pro juga tidak sebaik 13 Pro. Anda dapat lihat di bawah perubahan warna daripada 1x, 2x,5x, 10x dan 20x. Imej mula nampak lembut pada tetapan lebih 2x. Maka kami merasakan kualiti telefoto pada 13T pro tidak sebaik peranti mercu kelas lebih premium tahun 2023 seperti 13Pro, 13 Ultra, dan S23 Ultra.

BATERI

Bateri 5000 mAh menyokong pengecasan pantas 120W. Prestasi bateri adalah sekadar sederhana. Secara lazimnya telefon dengan bateri 5000 mAh yang kami gunakan sebelum ini akan mencapai tahap 20% sekitar 10 malam selepas dicabut daripada pengecasnya pada jam 7 pagi. Xiaomi 13T Pro mencapai tahap 20% pada jam 7 malam. Oleh itu hayat baterinya tidak sebak S23 Ultra. Kami tidak dapat melihat SOT pada 13T Pro kerana tidak dipaparkan pada antaramuka skrin bateri.

Yang bagus adalah pengecas 120W yang disertakan boleh mengecas semula bateri dalam masa 19 minit. Sampai rumah, sambung pengecas, pergi mandi dan apabila baju sudah dipakai bateri sudah kembali 100%. Pengecas juga disertakan dalam kotak dengan setiap pembelian.

AUDIO

Audio dari speaker stereo adalah dibantu oleh sokongan Dolby Atmos. Kedua-dua speaker menembak ke sisi bagi memberikan pengalaman audio yang seimbang. Tiada komen negatif kami boleh katakan mengenai speaker 13T Pro kerana ia memuaskan.

PESAING

Xiaomi 13T ProXiaomi 13OnePlus 11
6.67″ AMOLED, QHD+, 144Hz, Dolby Vision6.36″ AMOLED, LTPO, FHD+, 120Hz, Dolby Vision6.7″ LTPO3 Fluid AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision
Dimensity 9200+ (4nm)
1 X 3.35 GHz Cortex X3
3 X 3.0 GHz Cortex A715
4 X 2.0 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X3
2 X 2.8 GHz Cortex A715
2 X 2.8 GHz Cortex A710
3 X 2.0 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X3
2 X 2.8 GHz Cortex A715
2 X 2.8 GHz Cortex A710
3 X 2.0 GHz Cortex A510
Adreno 740Adreno 740Adreno 740
12/16 GB LPDDR5X12GB LPDRR58/16 GB LPDDR5
256/512/1000GB UFS 4.0256 GB UFS 4.0128/256 GB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/1.9 (Telefoto)
8K 24p
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP f/2.0 (Telefoto)
8K 24p
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
48MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
32MP, f/2.0 (Telefoto)
8K 24p
Kamera Hadapan
20-MP f/2.2
Kamera Hadapan
32-MP f/2.0
Kamera Hadapan
16-MP f/2.5
IP68IP68IP64
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 120W)4500 mAh (Berwayar 67W)5000mAh (Berwayar 100W)
RM 2499 (12/256GB)
RM 2699 (12/512GB)
RM 3499 (16/1TB)
RM 3499 (12/256GB)RM 3299 (8/128GB)
RM 3599 (16/256GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Xiaomi 13T Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 120W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Dengan harga jualan bermula RM2499di Malaysia, Xiaomi 13T Pro ialah antara telefon dengan lensa Leica termurah di pasaran selepas Xiaomi 13T. Kelebihan terletak pada perisian dengan sokongan masa panjang, kemampuan kamera utama yang tidak mengecewakan, audio yang baik dan pengecasan yang amatlah pantas.

Kekurangan pada hayat bateri tidak meninggalkan impak besar kerana ia boleh dicas semula dalam masa 19 minit. Dari segi kamera ia tidak sebaik 13 Pro kerana kehilangan beberapa ciri serta imej dari lensa ultra sudut lebar yang tidak cukup tajam.

Ia alternatif kepada Xiaomi 13 Pro yang dijual pada harga bermula RM 4599. Kami boleh sarankan Xiaomi 13T Pro kepada mereka yang ingin peranti dengan lensa Leica tetapi pada harga yang lebih mampu milik.

Pro

  • Skrin 144Hz dengan Dolby Vision.
  • Dimensity 9200+ berkuasa.
  • Lensa Leica.
  • Pengecasan pantas 120W.
  • Kalis air dan debu IP68
  • Sokongan 4 versi Android dan 5 tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Hayat bateri sedikit mengecewakan.
  • Prestasi zum yang tidak setanding peranti mercu lain.
  • Panel belakang kulit vegan terasa melekit.
  • Sistem Leica tidak sebaik pada siri Xiaomi 13 Pro.

Komen