Sony kini mula membuka sesi pratempah untuk dua kamera baharu, Alpha A7C II dan Alpha A7CR di Malaysia. Harga jualan adalah bermula RM10,499 untuk tubuh Alpha A7C II dan meningkat kepada RM11,999 apabila digandingkan dengan lensa SEL2860 (FE 28-60mm F4-5.6) . Sementara itu kamera Alpha A7CR pula dijual pada RM14,999 untuk tubuh sahaja.
Pratempah boleh dibuat bermula hari ini sehingga 31 Oktober 2023 dengan hadiah menarik sehingga RM631 diberikan untuk pembelian Alpha A7C II. Kemudian pembelian untuk Alpha A7CR pula disertakan dengan hadiah bernilai sehingga RM881. Selain itu Sony turut menawarkan hadiah percuma sehingga RM250 untuk pembelian lensa FE 16-35mm F2.8 GM II berharga RM11,399, namun promosi tersebut terhad sehingga 1 Oktober.
Sony Alpha 7C II dilengkapi dengan sensor 33MP Exmor R CMOS bingkai penuh yang membolehkan rakaman gambar sehingga 10 bingkai sesaat dan video pula sehingga 4K/60FPS. Ini dipadankan juga dengan dengan cip pemprosesan imej Bionz XR dan sistem penstabilan lima paksi bagi pengalaman lebih baik.
Menerusi sensor ini, kamera turut boleh merakam video 4K/60p dalam format Super35, FHD sehingga 120p, menawarkan pensampelan warna 10-bit 4:2:2, serta menyokong HLG, S-Log3, S-Cinetone dan LUTs. Dalam masa sama ciri standard kamera Sony Alpha iaitu mod pemfokusan manusia, haiwan, wajah dan mata juga boleh dipilih.
Bercakap mengenai Sony Alpha A7CR pula, ia dilengkapi sensor 61MP dari keluarga Exmor R CMOS yang dipadankan dengan cip pemproses Bionz XR. Selain itu terdapat juga sistem penstabilan imej optikal 7 paksi yang juga dibantu oleh sistem pemfokusan yang menggunakan kecerdasan buatan.
Kemampuan rakam video pula adalah sehingga 4K/60p dengan oversampling 6.2K dalam format Super35 dan FHD pada 120p. Kamera juga mempunyai skrin LCD 3″ dengan EVF 1,036,800 titik yang bebas diputarkan.