Adakah Twitter/X akan mati dalam masa terdekat. Ini persoalan yang amat pruden hari ini selepas Elon Musk mengatakan di masa hadapan mungkin pengguna Twitter/X perlu membayar untuk terus mengakses platform media sosial ini. Maklumat ini dikongsi oleh Musk dalam sesi perbualan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu lewat pagi ini.
Tidak diketahui sama ada ini bermakna sebuah pelan baharu untuk X Premium (dahulunya Blue) akan diperkenalkan pada harga yang lebih rendah berbanding sekarang. Pada waktu ini X Premium turut memberikan akses kepada X Pro (dahulunya Tweetdeck) yang menimbulkan kemarahan banyak pihak kerana dahulu ia boleh digunakan percuma.
Sejak diambil alih oleh Musk pada harga $44 bilion, nilai X telah menjunam lebih separuh. Pengiklanan juga berkurangan mendadak kerana pelbagai keputusan Musk yang dilihat tidak munasabah seperti ingin menyaman pengiklan. Beliau sendiri pernah berkata X masih lagi beroperasi dengan aliran tunai negatif.
Ini mungkin anda sebab mengapa beliau ingin mengenakan bayaran bagi mengelakkan syarikat terus mengalami kerugian. Jika ianya berlaku besar kemungkinan lebih ramai pengguna akan berpindah ke Threads atau alternatif lain daripada membayar langganan kepada X.