Honor X40 GT Racing telah dilancarkan secara rasminya di China. Melihat pada penjenamaan sahaja rasanya kita sudah boleh agak fokus utamanya. Keseluruhannya memberi tumpuan terhadap prestasi dengan janaan cip Snapdragon 888.
Turut disertakan adalah sistem penyejukan tiga dimensi dengan binaan 13 lapisan untuk pengaliran haba yang baik. Ini digabungkan juga dengan gabungan memori 12GB RAM dan storan sehingga 512GB, di samping bateri berkapasiti 4,800mAh dengan pengecasan pantas 66W.
Melengkapi peranti juga adalah skrin LCD sebesar 6.81-inci FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Di samping sokongan tri-kamera di belakang dengan tetapan 50MP utama + 2MP kedalaman + 2MP makro. Kemudiannya diikuti juga dengan kamera swafoto sebesar 16MP.
Melihat secara umumnya sebahagian besar spesifikasi adalah sama dengan variasi Honor X40 GT sebelum ini. Perbezaan hanyalah pada kemasan peranti yang kini disediakan dalam tiga pilihan berbeza, di samping kapasiti memori lebih besar mencapai 12GB RAM.
Peranti ini dijual di China dengan harga RMB1,799 (~RM1,154) untuk 12GB/256GB, kemudiannya meningkat kepada RMB1,999 (~RM1,282) untuk 12GB/512GB.