Garmin hadir dengan peranti boleh pakai baharu dengan penjenamaan Vívoactive 5 GPS. Antara yang menarik pada generasi baharu ini adalah sokongan skrin AMOLED dan ketahanan bateri yang dinaiktaraf untuk penggunaan yang lebih baik.

Bermula dengan rekaan ia menggabungkan kerangka jam berbentuk bulat dan tali sejenis silikon. Saiz skrin adalah sebesar 1.2-inci AMOLED (390 X 390 piksel) dengan sokongan paparan sentiasa hidup terbina. Ini dipadankan juga dengan pelbagai sensor kecergasan dan kesihatan terbina yang merangkumi status HRV, status bateri badan, kitaran haid serta kehamilan, SpO2 dan sebagainya.

Terdapat juga mod kerusi roda terbina seperti yang ditawarkan pada siri Venu 3 sebelum ini. Di samping beberapa lagi kebolehan menjejak lain seperti sesi meditasi, tahap penafasan, dan peringatan penghidratan. Bukan itu sahaja ia juga memuatkan sehingga 30 mod sukan yang boleh dipilih oleh pengguna.

Bateri disertakan pula boleh bertahan mencapai 11 hari dengan mod jam tangan pintar. Ia juga menyokong Garmin Pay dan storan 4GB untuk simpanan muzik serta aplikasi Spotify. Garmin Vívoactive 5 dijual pada harga $299.99 (~RM1,406) dengan pilihan warna seperti black/slate, ivory/cream gold, navy/metallic navy dan orchid/metallic orchid.