Apple Store pertama Malaysia akan dibuka di The Exchange TRX pada Februari depan mengikut dokumen dalaman yang tertiris. Sebelum ini kami laporkan imej logo Apple diuji di Apple Store ini tetapi rekaan serta lokasinya masih lagi dirahsiakan. Pada hujung minggu lalu, video dan imej dari udara rekaan taman TRX telah dikongsi di media sosial. Ia juga mungkin kali pertama rekaan Apple Store pertama Malaysia didedahkan kepada umum.
Video asal dimuat naik oleh saluran rasmi YMG lebih minggu lalu. Dalam video ini, struktur dengan bumbung seakan ziggurat berwarna putih dapat dilihat dengan jelas di bumbung The Exchange. Ada beberapa sebab mengapa kami rasakan ini ialah Apple Store dan bukan dua lagi struktur dengan bumbung berbentuk bulat yang turut berada di lokasi yang sama.
Pertama sekali Apple akan memilih rekaan unik untuk Apple Store pertama mereka di sesebuah negara. Bumbung mungkin mengambil inspirasi daripada nasi lemak atas atap mengkuang. Di Apple Store pertama India yang dibuka tahun ini, dinding menggunakan batu dengan rekaan tradisional di Mumbai.
Struktur perang dengan atap bulat mirip Steve Jobs Theatre pada hemat kami terlalu kecil untuk Apple Store. Struktur kedua dengan atap yang sama juga bersambung dengan bahagian bumbung. yang lain. Petanda paling nyata dua struktur ini bukan Apple Store ialah ia sudahpun wujud dalam imej pengolokan asal The Exchange yang diperlihatkan lebih tiga tahun lalu. Misteri ini akan terungkai sepenuhnya pada Februari 2024 nanti.