Xiaomi 13T adalah sebuah peranti mercu mampu milik yang cukup baik. Setiap tahun model T dilancarkan ia semakin menarik perhatian kerana memberi akses kepada mereka yang inginkan ciri premium dari model Pro atau Ultra pada harga yang lebih mampu milik. Selepas sebulan menggunakan Xiaomi 13T, saya mendapati peranti ini adalah cukup baik bagi mereka yang inginkan kemampuan fotografi yang baik atau yang tidak pernah mencuba peranti mercu Xiaomi.
SPESIFIKASI
Xiaomi 13T | |
---|---|
Skrin | 6.67″ AMOLED, FHD+, 2712 x 1220, 144Hz Pro HDR, Dolby Vision, HDR10+ |
Pemproses | Dimensity 8200-Ultra (4nm) |
Cip | 1x Cortex-A78, 3.1GHz 3x Cortex-A78, 3.0GHz 4x Cortex-A55, 2.0GHz |
Cip Grafik | Mali-G610 MC6 |
RAM | 8GB LPDDR4X + 8GB Maya |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | LEICA VARIO-SUMMICRON 50MP, f/1.9, OIS 50MP, f/1.9 12MP, f/2.2, Leica Authentic Look & Leica Vibrant Look Master-lens: 35mm, 50m, 90mm Xiaomi ProFocus HDR10+, 4K 30fps |
Kamera Swafoto | 20MP, f/2.2 HDR |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 67W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM1799 (8/256 GB) RM1999 (12/256 GB) |
SKRIN
13T adalah peranti siri T generasi keempat Xiaomi dan sekali lagi mereka menggunakan saiz skrin yang sama iaitu 6.67-inci. Walaupun saiz sama, teknologi yang digunakan adalah berlainan. Ia menggunakan panel AMOLED 2712 x 1220 piksel, menyokong kadar segar semula 144Hz, serta paparan Pro HDR, HDR10+ dan juga Dolby Vision. Paling menarik, Xiaomi turut menyertakan sokongan kecerahan mencapai 2600 nits yang sangat terang dan tiada masalah untuk dilihat di bawah cahaya matahari yang terik.
144Hz pada peranti ini juga cukup lancar dengan masalah lengah masa sangat jarang berlaku sepanjang penggunaan. Tatalan pada pelancar adalah pantas dan kualiti paparan yang sangat menakjubkan untuk peranti yang berharga tidak sampai RM2000. Sokongan Dolby Vision pada peranti ini memberikan pengalaman menonton Netflix, Prime Video dan YouTube pada mod HDR yang terbaik.
PENGIMBAS CAP JARI
Walaupun Xiaomi 13T adalah peranti mercu yang murah, Xiaomi masih menggunakan komponen yang berkualiti. Pengimbas cap jari terbina bawah skrin peranti ini juga sekelip mata sahaja terus dinyahkunci. Malah apabila jari saya kotor dan berpeluh bantuan imbasan wajah dengan kamera swafoto turut membantu dengan pantas.
REKAAN
Peranti ini menggunakan rekaan yang lebih kurang sama dengan Redmi K60 Ultra, cuma dalamannya yang berlainan. Sisi peranti adalah rata begitu juga dengan skrin. Panel belakang sedikit melengkung untuk mudah dicengkam dan dikendalikan. Bonggol kamera di belakang cukup besar dengan setiap saiz setiap lensa kamera jelas kelihatan bersama dengan logo Leica.
Butang kuasa dan butang laras suara sedap ditekan, Xiaomi masih menyertakan sokongan pemancar infra merah, terdapat dua lubang mikrofon di atas dan satu di bawah. Bercakap mengenai bahagian bawah kekisi speaker, port USB-C dan slot kad SIM jelas kelihatan. Binaan peranti juga terasa lebih premium dan lebih berat berbanding peranti seperti Nothing Phone (2).
Masalah utama saya pada peranti ini adalah kemasan di belakang yang sangat licin yang sukar untuk dikendalikan oleh tangan saya yang besar dan mudah berpeluh. Kemudian Xiaomi turut menambah satu ciri yang menjadikan nilai peranti ini lebih berbaloi iaitu sokongan kalis air dan debu IP68 yang tidak banyak ditawarkan oleh pesaing untuk peranti dalam kategori harga yang sama.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – MIUI 14.0.10.0
Sudah bertahun saya usulkan perkara ini kepada Xiaomi sehingga hari ini ia masih tidak diimplementasikan. Percayalah, jika anda aktif di forum rasmi Xiaomi dan melihat keluhan pengguna peranti MIUI di Malaysia, MIUI 14 masih lagi bermasalah kerana tidak menyertakan ciri dan fungsi yang sama seperti MIUI di China.
MIUI versi global dipenuhi dengan iklan seperti tetapan gambar latar, tema dan nada dering perlu menggunakan gedung tersendiri yang tidak memaparkan harga Malaysia serta menggunakan antaramuka yang tidak mesra pengguna. MIUI terbaik pernah saya gunakan untuk model global adalah MIUI 14 for Pad pada Xiaomi Pad 6 yang sangat memuaskan dan suci.
Tiada ciri baharu pada MIUI 14 yang digunakan pada peranti ini, semuanya lebih kurang sama sahaja. Walau bagaimanapun masih ada ciri dan fungsi yang sangat saya hargai antaranya adalah yang saya senaraikan di bawah;
- Pengimbas cap jari bawah skrin yang bukan sahaja pantas tetapi turut boleh mengimbas nadi.
- Memory Extension menambah memori secara maya sehingga 8GB menjadikan jumlah RAM keseluruhan mencecah 16GB. Ini membantu meningkatkan prestasi sedikit.
- Detect Gaze yang boleh mengesan mata agar skrin tidak terkunci selagi mata memandangnya.
PENANDA ARAS – DIMENSITY 8200-Ultra
Cip yang digunakan pada Xiaomi 13T adalah MediaTek Dimensity 8200-Ultra dengan fokus kepada pembelajaran mesin dan keseimbangan prestasi. Cip ini menggunakan rekaan 4nm yang dibina oleh TSMC yang mana 20% lebih efisien dan menjanjikan prestasi yang lebih pantas berbanding Dimensity 8100.
Dalam semakan saya, cip ini sepatutnya bersaing dengan Snapdragon 8 Gen 1 kerana skor AnTuTu mencapai lebih 800,000. Walau bagaimanapun dalam ujian yang saya lakukan skornya lebih rendah kerana memori 8GB RAM berbanding pesaing yang menggunakan 12GB ke atas. Berikut adalah perbandingan setiap penanda aras yang saya lakukan dengan dua peranti yang dilengkapi Snapdragon 8 Gen 1.
Geekbench 6
- Xiaomi 13T – 1245/3993
- Nothing Phone (2) – 1734/4576
- Poco F5 Pro – 1868/5272
Antutu 3D
- Xiaomi 13T – 886,517
- Nothing Phone (2) – 1,142,277
- Poco F5 Pro – 1,049,997
3D Mark Wild Life Extreme
- Xiaomi 13T – Tidak boleh diuji
- Nothing Phone (2) – 2584
- Poco F5 Pro – Tidak boleh diuji
Untuk 13T prestasi penggunaan biasa adalah lancar dan pantas. Cuma apabila saya menguji permua yang kini sedang tular iaitu Monopoly GO yang mana sebuah permainan papan 3D yang penuh dengan animasi dan pergerakan watak. Permua yang saya anggap ringan ini ada masalah dijalankan pada peranti ini kerana ia mudah memanas dan berlaku masalah lengah masa yang serius. Marvel SNAP permainan kad yang asas pun juga kadangkala lengah masa.
TELEFONI Dan GPS
Dalam penggunaan saya sambungan 4G dan 5G tiada masalah di sekitar Kuala Lumpur. Ia cukup stabil dan pantas. Panggilan telefon juga cukup berkualiti kerana mikrofon dengan algoritma pengurangan hingar yang bagus. Sambungan WiFi walau bagaimanapun tidak begitu stabil jika kelajuan mencapai lebih 300Mbps dan hanya menjadi bagus jika ia bawah 100Mbps.
Ini mungkin isu pada perisian kerana ia amat aneh dan tidak pernah berlaku pada saya sebelum ini. Untuk GPS, peranti ini tiada masalah untuk mengunci lokasi dengan pantas dan memberi arahan selok-belok pada kadar yang cukup lancar.
KAMERA
Apa yang buat saya semangat untuk menggunakan Xiaomi 13T adalah kemampuan kamera Leica yang ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik. Kamera yang digunakan adalah sama pada 13T Pro iaitu 50+12+50 Megapixel dengan lensa tersendiri, teknologi Leica dan perisian mirip pada Xiaomi 13 Ultra.
Sayang sekali selepas satu minggu menguji kamera, semangat saya terus hilang kerana warna yang dihasilkan tidak cukup terang. Walaupun telah menggunakan profil Leica Vibrant warna masih kelihatan pudar dan tidak menyenangkan.
Mod potret walau bagaimanapun nampak kemas dan cantik kerana menawarkan ciri dan fungsi potret yang sama pada siri Xiaomi 13. Saya boleh menggunakan pelbagai mod berbeza yang mimik lensa Leica pada kamera sebenar mereka. Hasilnya juga memuaskan dan nampak kemas.
Mod sudut ultra lebar lebih teruk kerana fokus yang lari, warna yang tidak konsisten, dan paling mengecewakan adalah butiran yang tidak dipelihara. Mod malam nampak bagus dengan kurang kesan pantulan cahaya dan warna yang menghampiri kemampuan Xiaomi 13.
Kemampuan zum sekali imbas nampak bagus kerana menyokong sehingga 20x. Sayang sekali pada 5x sahaja hasil sudah tidak memuaskan dengan butiran yang tidak dipelihara serta hasil yang nampak terlalu lembut dengan warna yang tidak menarik.
Hasil swafoto pula ada kesan kecantikan yang sedikit lembut berbanding apa yang saya sukakan tetapi warnanya terang dan butiran nampak lebih mudah untuk diterima. Latar belakang walau bagaimanapun tidak dapat fokus dengan baik dan terlampau terdedah ke cahaya matahari.
BATERI
Seingat saya peranti siri T mempunyai ketahanan bateri yang lama. Cuma untuk 13T ini ia hanya bertahan sekitar 10 jam untuk satu hari dengan anggaran SOT sekitar 4 jam bagi penggunaan yang ekstrem. Sementara penggunaan ringan mampu bertahan hampir dua hari dengan SOT sekitar 8 jam. Xiaomi 13T menyokong pengecasan pantas 67W yang boleh mengecas dari 0% ke 100% dalam masa 42 minit.
AUDIO
Speaker pada peranti siri Xiaomi T jarang mengecewakan. Lagi-lagi sistem stereo dengan Dolby Atmos yang seimbang dan lantang. Sepanjang sebulan saya menggunakan peranti ini muzik dan video 90% penggunaan adalah tanpa aksesori audio. Saya amat berpuas hati dengan speaker peranti ini dan saya yakin mereka yang membelinya juga akan rasa perkara yang sama.
PESAING
Xiaomi 13T | Nothing Phone (2) | Poco F5 Pro |
6.67″ AMOLED, FHD+, 2712 x 1220, 144Hz Pro HDR, Dolby Vision, HDR10+ | 6.7” LTPO AMOLED, FHD+, 1080 x 2412, 1Hz-120Hz, HDR10+ | 6.67″ Flow AMOLED, WQHD+,3200 x 1440, 120Hz, Pro HDR, Dolby Vision, HDR 10+ |
Dimensity 8200-Ultra (4nm) 1x Cortex-A78, 3.1GHz 3x Cortex-A78, 3.0GHz 4x Cortex-A55, 2.0GHz | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x Cortex-X2 Prime, 3.0GHz 3x Cortex-A710, 2.5GHz 4x Cortex-A510, 1.8GHz | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x Cortex-X2 Prime, 3.0GHz 3x Cortex-A710, 2.5GHz 4x Cortex-A510, 1.8GHz |
Mali-G610 MC6 | Adreno 730 | Adreno 730 |
8/12 GB LPDDR5 8GB Maya | 12GB LPDDR5 | 8/12 GB LPDDR5 |
256GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 3.1 | 128/256 UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP, f/1.9 (Telefoto) 12MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 30fps | Kamera Utama 50 MP, f/1.88, OIS, EIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/2.2 (Sudut Lebar + makro) 4K 60 fps | Kamera Utama 64MP, f/1.79 (sudut lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Makro) 8K 24fps |
Kamera Hadapan 20-MP f/2.2 | Kamera Hadapan 32-MP f/2.45 | Kamera Hadapan 16-MP f/2.45 |
IP68 | IP54 | IP53 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 67W) | 4700 mAh (Berwayar 45W) | 5160 mAh (Berwayar 67W) |
RM 1799 (8/256 GB) RM 1999 -(12/256 GB) | RM 2999 (12/256 GB) RM 3499 (12/512 GB) | RM 2099 (8/256GB) RM 2199 (12/256 GB) RM 2399 (12/512 GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Xiaomi 13T
- 1x Pengecas 67W
- 1x Kabel USB-A ke USB-C
- 1x Kerangka silikon.
- 1x SIM Pin
- 1x Set buku panduan/keselamatan
KESIMPULAN
Pada hemat saya yang telah menggunakan Xiaomi 13 dan 13 Ultra, peranti ini tidak berbaloi untuk dimiliki kerana kualiti kamera yang tidak setaraf dan kemampuan prestasi yang kurang memuaskan. Walau bagaimanapun jika anda tidak pernah menggunakan kamera Leica kerana harga yang mahal, ini adalah peluang baik untuk mencuba profil warna. Ciri dan fungsi yang premium seperti OIS, IP68, Dolby Vision serta banyak lagi pada harga bermula RM1799 adalah nilai yang anda tidak akan menyesal beli.
Pro
- Skrin yang cantik dan menarik.
- Prestasi yang pantas untuk peranti 8GB RAM.
- Kemampuan kamera Leica pada harga lebih mampu.
- Menyokong IP68.
Kontra
- YouTube tidak stabil jika mod 2K dan HDR diaktifkan.
- Ketahanan bateri tidak begitu memuaskan.
- MIUI 14 yang dipenuhi dengan iklan.