Giliran LG pula untuk menyertai pasaran komputer riba dengan skrin boleh-lipat dengan pelancaran LG Gram Fold semalam. Ia sebuah komputer riba yang dilengkapi skrin 17″ QXGA+ OLED yang boleh dilipat. Seperti peranti pesaing ASUS Zenbook 17 Fold OLED dan HP Spectre Foldable PC, Gram Fold boleh digunakan dalam mod komputer riba, tablet, desktop dan khemah.

Skrin 17″ apabila dilipat akan memberikan dua skrin 12″. Pengguna boleh menaip terus pada skrin atau menerusi papan kekunci bluetooth yang diberikan. Sokongan stylus juga diberikan untuk melakar terus pada skrin. Cip Intel i5-1335U digunakan bersama grafik Intel Iris Xe, memori 16GB RAM, storan 512GB SSD NVMe dan bateri 72Wh.

Terdapat dua port USB-C dengan salah satunya menyokong Thunderbolt 4. Sistem audionya pula hadir dengan sistem audio Dolby Atmos. Ketika ini LG Gram Fold hanya dijual di Korea Selatan pada harga 4.99 juta Won (~RM17,400) sebuah.
