Carian
iPhone 16 Dan 16 Plus Tidak Akan Dilengkapi Cip A17 Pro Tahun Depan
September 26, 2023 Fahim Zahar

Cip pemprosesan Apple A17 Pro adalah yang paling berkuasa setakat ini untuk peranti mudah alih kerana yang pertama menggunakan rekaan 3nm dan juga menyokong permainan konsol untuk kedua-dua iPhone 15 Pro. iPhone 15 dan iPhone 15 Plus menggunakan cip yang sama pada iPhone 14 Pro iaitu A16 Bionic.

Tahun hadapan, Apple dilaporkan turut akan membawakan cip A17 kepada iPhone 16 dan iPhone 16 Pro. Walau bagaimanapun ia bukan versi Pro, sebaliknya Apple dikatakan akan hadir dengan cip rekaan khas untuk dua model iPhone biasa ini. Cip ini turut dikatakan menggunakan rekaan 3nm binaan TSMC, cuma proses yang lebih murah berbanding A17 Pro.

Jika ini berlaku, ia adalah kali pertama Apple membangunkan cip khusus untuk iPhone model biasa yang bukan Pro. iPhone 16 dan iPhone 16 Plus turut dijangka akan kekal dengan rekaan Dynamic Island, memori 8GB RAM, mungkin menyokong ProMotion dan besar kemungkinan tiada sokongan bermain permainan konsol. Cip pemprosesan 3nm Apple dikatakan akan digunakan sehingga siri A19 sebelum beralih kepada binaan 2nm pula.

Komen