Carian
Kuo – Isu Pemanasan iPhone 15 Pro Bukan Disebabkan A17 Pro
September 27, 2023 Effi Saharudin

Beberapa hari selepas iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max mula dijual, timbul rungutan daripada pemilik yang mengatakan peranti mempunyai masalah pemanasan melampau. Isu muncul secara rawak dengan apa yang mengatakan ia berlaku ketika mengambil gambar, peranti dicas dan turut berlaku ketika peranti sekadar digunakan untuk membaca laman web.

Ming-Chi Kuo, penganalisa terkemuka mengenai apa yang berlaku di Apple kini mengatakan isu ini bukan disebabkan oleh cip A17 Pro seperti sangkaan orang ramai. Sebaliknya ia disebabkan oleh keputusan Apple menggunakan kerangka titanium dan sistem penyejukan tidak begitu baik untuk menyebarkan haba bagi memastikan peranti nipis serta ringan. Menurut beliau lagi Apple akan mengeluarkan kemas kini perisian kelak untuk menyelesaikan isu ini yang mungkin akan mengurangkan pula prestasi cip.

Apple masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu pemanasan ini. Dalam pelbagai ujian penanda aras dapat dilihat prestasi A17 Pro menjunam teruk selepas ujian kedua dilakukan kerana isu pemanasan. Pada Galaxy S23 Ultra dengan Snapdragon 8 Gen 2, markah penanda aras turun secara landai tetapi konsisten lebih tinggi berbanding 15 Pro Max. Ini adalah kerana Galaxy S23 Ultra dilengkapi kebuk penyejukan yang besar.

Walaupun isu pemanasan ini dilaporkan oleh ramai pengguna. Kami sendiri tidak menemukan isu pemanasan melampau pada 15 Pro Max yang kami beli. Pemanasan ketika mengecas sama sahaja dengan suhu pada 14 Pro Max yang dicas menggunakan pengecas 30W.

Komen