Cari @ Amanz

Beberapa hari lalu kami terbitkan laporan Sir Jony Ive, Sam Altman (pengasas OpenAI) dan Masayoshi Son (pengasas Softbank) sedang membangunkan peranti khusus untuk kecerdasan buatan (AI). Kini lebih banyak maklumat mengenai projek mereka ini dilaporkan oleh The Financial Times.

Peranti yang akan dihasilkan menyasarkan untuk menjadi “iPhone untuk kecedasan buatan”. Ia akan memberikan pengalaman berinteraksi dengan AI secara lebih intuitif seperti mana iPhone pertama mengubah bagaimana kita berinteraksi dengan skrin.

Sir Ive akan terlibat dalam rekabentuk peranti. Sam Altman pula akan membangunkan AI yang diperlukan. Paling penting di sini ialah Masayoshi Son yang akan menyumbangkan dana dengan ARM (anak syarikat Softbank) pula akan terlibat dalam penghasilan cip yang diperlukan.

Halangan utama AI pada waktu ini ialah ia memerlukan sambungan data untuk berfungsi dengan baik dan mengambil masa yang lama untuk memproses. Terdapat usaha dari Google dan Qualcomm untuk membangunkan AI yang terbina pada peranti. Qualcomm sudahpun mengumumkan Llama 2 oleh Meta boleh dijalankan terus pada cip Qualcomm generasi seterusnya (mungkin Snapdragon 8 Gen 3).

Wujudkan keperluan untuk sebuah peranti khusus untuk kecerdasan buatan semata-mata? Atau apabila ia dilancarkan kelak peranti misteri ini adalah sebuah telefon pintar dengan sistem operasi baharu?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd