Carian
Pandang Pertama Apple iPhone 15 Pro Max – Akhirnya Dengan USB-C
September 29, 2023 Effi Saharudin

Lima tahun lalu iPhone X membawakan rombakan wajah iPhone yang terbesar sejak peranti dilancarkan. Tiada lagi butang home fizikal, dagu serta dahi dilupuskan dan takuk skrin diperkenalkan buat pertama kali. Pada awalnya iPhone X menjadi bahan jenaka oleh jenama lain sebelum penggunaan takuk dan sistem imbasan wajah 3D yang diletakkan dalamnya menjadi ikutan pengeluar lain.

Sejak dari hari itu ramai mengharapkan Apple lebih berani mencuba rekaan baharu pada produk yang menjana pendapatan tertinggi kepada mereka. Namun begitu saban tahun kita dikecewakan kerana rekaan sama dikitar semula seperti kertas yang digunakan untuk kotak-kotak iPhone. Tahun ini akhirnya perubahan paling besar dilakukan pada model 15 Pro Max. USB-C, sokongan rakaman video spatial dan sistem kamera dengan prisma. Adakah ini mencukupi? Ini pandang pertama kami untuk Apple iPhone 15 Pro Max.

Spesifikasi

Apple iPhone 15 Pro Max
Skrin6.7″ LTPO Super Retina XDR OLED,
120Hz, Dolby Vision
PemprosesApple A17 Pro
Cip2 X 3.78 GHz Kuasa Tinggi
4 X 2.8 GHz Kecekapan
Cip GrafikApple GPU 6 Teras
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman256/512/1000 GB VNMe
Kamera Utama48mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
12MP, OIS, f/2.8 5x Zum Optikal (Telefoto)
LiDAR
Kamera Swafoto12MP f/1.9
Bateri4441 mAh
Pengecasan berwayar 23W
Pengecasan nirwayar MagSafe 15W
Pengecasan nirwayar Qi 7.5W
SIM/Telefoni1 Nano, 1 eSIM
5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas Face ID
Harga JualanRM 6,499 (8/256GB)
RM 7,499 (8/512GB)
RM 8,499 (8/1TB)

SKRIN

Skrin tahun ini masih lagi sama dengan saiz 6.7″ OLED serta sokongan 120Hz LTPO. Keterangan boleh mencecah 2000 nits apabila berada di luar supaya kandungan skrin masih lagi dapat dilihat. Sebentar tadi ketika solat Jumaat kami boleh sahkan skrin beroperasi dengan baik di bawah mentari yang panas. Bagi peminat kandungan HDR, skrin 15 Pro Max menyokong paparan kandungan Dolby Vision pada aplikasi Netflix, Prime dan banyak lagi.

Skrin adalah rata dengan saiz bezel yang semakin keci. Senipis ada peranti Android mercu buat pertama kami. Apabila dimasukkan ke dalam kerangan, peranti nampak seperti nirbingkai. Kami ada pendapat kurang popular di mana kami rasakan peranti dengan bezel nampak lebih cantik. Seperti gambar dengan bingkai nampak lebih segak berbanding gambar tanpa bingkai. Tetapi kami kami dari golongan minoriti yang lebih menggemari rekaan bezel pada iPhone 15 Pro Max tahun lalu.

Dengan kelajuan sehingga 120Hz ProMotion, kandungan yang ditatal nampak pantas dan lancar. Ada kedengaran laporan dalam mod biasa skrin hanya beroperasi pada kelajuan 80Hz sahaja. Kalau 80Hz sekalipun kami tidak nampak sebarang cela selepas menggunakan peranti hampir tiga hari. Sama sahaja kelancarannya seperti pada 14 Pro Max yang kami gunakan sejak setahun lalu.

iPhone 15 Plus kiri, iPhone 15 Pro Max kanan

Lubang kamera dengan Dynamic Island walaupun tidak sebesar takuk iPhone 13 Pro Max, kami rasakan mengganggu dalam situasi menonton video Netflix, dan YouTube dalam mod skrin penuh. Ia turut mengganggu menu dalam permainan apabila kami menjalan permua seperti COD Mobile. Ingin kami katakan lubang kamera ini tidak mengganggu tetapi ia akan membuatkan kami seorang menipu.

BIOMETRI Dan HAPTIK

Face ID ialah sistem biometri terbaik pada telefon pintar moden. Ini tidak boleh didebatkan lagi kerana sehingga sekarang selepas lima tahun masih tidak sistem setanding digunakan pada Android. Hanya pandang skrin dan peranti akan dinyahkunci dengan pantas. Alangkah baiknya jika paten teknologi Face ID dijadikan standard pada platform lain.

Panel belakang dengan kerangka Fine Woven.

Haptik juga amat baik dengan segala getaran dalam menu beroda terasa seperti jari anda sedang menekan roda fizikal. Nasib baik sudah ada banyak peranti Android sekarang mampu menawarkan pengalaman haptik yang sama dengan iPhone.

REKAAN

Rekaan tahun ini mengembalikan sedikit sisi bulat yang dipopularkan siri iPhone X dan XS. Semasa pengumuman dilakukan, kami antara yang kurang gemar dengan keputusan ini kerana lebih menggemari rekaan berkotak. Tetapi di dalam tangan 15 Pro Max memang dapat dipegang dengan lebih selesa. Dibantu dengan tubuh titanium yang terasa sangat sejuk apabila digenggam,

Dapat dirasakan 15 Pro Max sedikit ringan berbanding model tahun lalu. Tidak signifikan tetapi ini adalah penting bagi mereka yang merungut iPhone menjadi terlalu berat apabila kerangka digunakan. Dan kerangka kami rasakan perlu kerana bezel skrin yang nipis tahun ini. Pada model yang kami ulas tiada isu cela kosmetik seperti yang tular di media sosial. Warna biru titanium adalah kacak tetapi secara peribadi masih tidak mampu menandingi warna ungu tahun lalu. Mungkin kerana warna titanium tidak berkilat membuat peranti nampak sedikit suram.

Pada siri kanan terdapat butang kuasa sementara pada sisi kiri terdapat dua butang laras audio dan Action Button. Action Button ialah inovasi tahun ini yang menggantikan butang suis yang selama ini digunakan hanya untuk membisukan peranti. Kami agak kecewa hanya satu aksi boleh diprogramkan pada satu-satu masa. Alangkah baik jika butang mempunyai lebih daripada satu fungsi. Pada peranti kami, Action Button diprogramkan untuk melancarkan kamera dengan butang ini kemudian menjadi butang pengatup kamera. Ia membuatkan 15 Pro Max terasa seperti sebuah Xperia 1 V pula.

Butang laras audio dan Action Button

Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan bonggol kamera yang semakin besar. Permukaan kaca pada panel adalah pusam maka tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Ini adalah tindakan yang baik kerana kami sedari sekarang seperti ada trend menggunakan iPhone tanpa kerangka.

Bonggol kamera adalah semakin besar tahun ini kerana selain sensor 50MP sudut lebar dan 12MP ultra sudut lebar, kamera 15 Pro Max juga tampil dengan sensor 12MP telefoto optikal 5X lengkap dengan sistem prisma. Saiz prisma yang agak besar ini juga menyebabkan hanya model 15 Pro Max menyokong zum optikal sehingga 5X. Pada model 15 Pro biasa ia terhad kepada 3.5X seperti 14 Pro Max. Seperti tahun lalu juga bonggol besar menyebabkan peranti terjungkit apabila diletakkan di atas permukaan meja.

Di bawah terdapat lubang speaker dan akhirnya port pengecasan USB-C. Doa kami sejak lima tahun lalu akhirnya ditunaikan oleh Allah kerana ini ialah perubahan yang sepatutnya sudah lama diberikan. Bukan sahaja untuk memudahkan pengecasan peranti dengan satu kabel sahaja tetapi hadir dengan sokongan USB 3 yang lebih pantas. Isu pada model iPhone terdahulu ialah memindahkan video bersaiz besar memakan masa yang amatlah lama.

Ini juga membolehkan pelbagai penyesuai dan aksesori USB-C di pasaran kini boleh digunakan dengan 15 Pro Max. Antaranya ialah memasang SSD terus pada peranti untuk rakaman video terus ke storan luaran.

Akhir sekali pada sisi kiri terdapat satu talam SIM bersaiz nano. Jika anda mahu menggunakan lebih daripada satu SIM, anda perlu mempunyai satu eSIM. Ini adalah satu lagi keberanian Apple dalam melakukan kelainan. Kita masih bernasib baik kerana iPhone di Amerika Syarikat hanya menyokong eSIM sahaja sejak tahun lalu. Walaupun mempunyai lubang speaker dan talam SIM fizikal, 15 Pro Max melepasi piawaian kalis debu serta air IP68.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Keluar sahaja dari kotak ia sudahpun menggunakan iOS 17 yang paling baharu. Tetapi kami menghadapi isu data dari iPhone lama tidak boleh dipindahkan ke 15 Pro Max. Kod yang patut diimbas dari skrin tidak memulakan proses pemindahan. Kemudian apabila boleh dibaca ia tergantung selama 30 minit tanpa sebarang kemajuan. Kemudian kami membaca ini ialah isu global. 15 Pro Max perlu dikemaskini ke iOS 17.0.1 satu terlebih dahulu sebelum proses pemindahan data dapat dilalukan.

Selepas tujuh tahun mengulas iPhone, ini kali pertama proses pemindahan data tidak boleh dilakukan dengan mudah. Jika anda menerima iPhone 15 dan 15 Pro yang ditempah hari ini, kami sarankan lakukan perkara yang sama bagi mengelakkan membuang masa.

iOS 17 tahun ini membawakan banyak ciri baharu yang kami sentuh dalam artikel 17 Perkara Menarik Pada iOS 17 sebelum ini. Kami tidak akan senaraikan semua tetapi kami akan sentuh beberapa yang paling inovatif dan menarik.

Pertama sekali ialah Name Drop yang membolehkan maklumat nombor telefon dihantar kepada pengguna iPhone lain dengan hanya menyentuh bahagian atas peranti. Ia mempunyai animasi yang membuatkan proses pertukaran nombor telefon terasa seperti magis.

Seterusnya ialah Personal Voice yang seperti sebuah permainan sihir. Pengguna perlu membaca 150 frasa pendek dalam Bahasa Inggeris. Kemudian iPhone akan memproses rakaman audio tadi untuk membolehkan peranti bercakap menggunakan suara anda sendiri. Ianya masih belum sempurna tetapi ia berguna beberapa hari lalu apabila kami hilang suara akibat batuk. Kami berbual dengan isteri menggunakan ciri ini.

Ada beberapa lagi ciri lain yang dijanjikan seperti Video Spatial, Journal, Look Up dalam video, AirDrop tanpa had jarak dan Check In yang belum diaktifkan pada waktu ini. Tahun lalu ramai merungut iOS terlalu meniru Android tetapi tahun ini Tim Cook dan kesemua warga kerja Apple memberikan pelbagai ciri baharu yang unik hanya pada iOS 17 sahaja.

PENANDA ARAS

Anda pasti ada membaca laporan isu pemanasan melampau pada 15 Pro Max. Ini didakwa disebabkan oleh titanium yang tidak menyebarkan haba dengan baik dan cip A17 Pro yang terlalu berkuasa. Pada unit yang kami ulas ini, kami tidak mengalami isu ini langsung. Selepas sesi COD Mobile ia sekadar suam. Sama sahaja suamnya seperti pada A16 Bionic.

Tetapi kami harus akui 15 Pro Max adalah lebih panas selepas sesi permua panjang jika dibandingkan dengan Galaxy S23 Utra, Xiaomi 13 Pro dan ROG Phone 7 yang dilengkapi Snapdragon 8 Gen 2. Tahun ini nampak Android mempunyai kelebihan pada kemampuan mengurangkan haba selepas sesi permainan yang panjang.

Ini tidak bermakna isu pemanasan ini tidak berlaku. Kami menghubungi beberapa rakan penulis dan techtuber bertanyakan sama ada mereka mengalami isu yang sedang tular ini. Sebahagian kecil mengatakan kadang kala mengecas telefon tidak boleh dilakukan kerana pengecasan dihentikan disebabkan suhu terlalu tinggi. Apple sehingga kini belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu pemanasan ini.

Berikut adalah markah penanda aras yang dicatatkan oleh iPhone 15 Pro Max dengan A17 Pro.

Geekbench 6

  • Apple iPhone 15 Pro Max – 2863/7128
  • Xiaomi 13T Pro – 1284/3520
  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Apple iPhone 15 Pro Max – 1,512,775
  • Xiaomi 13T Pro – 1,431,444
  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

3D Mark Wild Life Extreme

  • Apple iPhone 15 Pro Max – 3530
  • Xiaomi 13T Pro – Tiada
  • Xiaomi 13 Pro – Tiada
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
  • OnePlus 11 – 3712
  • Vivo X90 – 3176
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

KESIMPULAN

Perubahan besar tahun ini ialah USB-C dan ia memang perubahan paling dinantikan oleh ramai peminat Apple termasuk kami sendiri. Tidak boleh dinafikan kesenangan mengecas MacBook Air, iPad Pro, iPad Mini dan Z Fold5 di rumah menggunakan satu kabel yang sama. Terasa seperti Sauron dengan satu kabel USB-C yang menguasai kesemuanya.

Prestasi dan pengalaman penggunaan masih terasa sama. Tidak mengejutkan kerana markah penanda aras menunjukkan peningkatan sekitar 14% sahaja. Masih terlalu awal untuk kami mengatakan 15 Pro Max ialah peranti yang berbaloi untuk dibeli oleh semua. Yang kami boleh katakan ialah jika anda mempunyai iPhone 12 dan ke bawah, penambahbaikan yang ditawarkan membuatkan peranti ini berbaloi untuk dibeli kerana ada peningkatan yang ketara. Nantikan ulasan penuh kami minggu depan.

Pro

  • Rekaan lebih selesa dan premium dalam tangan.
  • A17 Pro ialah cip paling berkuasa telefon pintar tahun ini.
  • Kamera yang dipertingkatkan.
  • Akhirnya USB-C dengan USB-3.

Kontra

  • Isu pemindahan data di peringkat awal dan laporan pemanasan melampau.
  • Harga meningkat sedikit.

Komen