Beberapa hari lalu muncul laporan mendakwa Huawei menerima bantuan empat firma Taiwan bagi menghasilkan cip Kirin 9000s yang digunakan pada peranti baharu mereka. Menerusi cip ini Huawei kembali menggunakan cip kendiri serta menyokong rangkaian 5G. Tetapi Amerika mendakwa Huawei telah memintas sekatan teknologi bagi menghasilkan cip 7nm ini.
Menurut laporan Nikkei Asia, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan memulakan siasatan ke atas empat syarikat tersebut. Dua syarikat yang sudah dikenalpasti adalah Topco Scientific dan United Integrated Services (UIS). Topco berkata mereka sekadar terlibat dengan penjagaan alam sekitar dengan sebuah subsidiari Huawei.
Sementara UIS pula berkata mereka mengubahsuai bahagian dalam kilang pengeluar semikonduktor milik subsidiari Huawei. Mereka turut mengeluarkan kenyataan memenuhi kesemua undang-undang, polisi dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.
Keempat-empat syarikat belum disahkan bersalah membantu Huawei memintas sekatan teknologi pada waktu ini. Sebelum ini Amerika mendakwa China masih tidak mempunyai kepakaran teknologi tempatan untuk menghasilkan cip 7nm. Maka cip Kirin 9000s pastinya menggunakan teknologi yang dihalang.
Sehingga ke hari pihak Huawei dan SMIC belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan Kirin 9000s dibangunkan dengan teknologi kendiri. Langkah ini mungkin diambil Huawei kerana wujud laporan Amerika akan menghalang pula penjualan semua cip kepada mereka dalam masa terdekat.