Carian
Cip Kirin 9000s Pada Huawei Mate 60 Menyokong 5G Dan Menggunakan Teknologi 7nm
September 4, 2023 Effi Saharudin

Beberapa hari yang lalu kami laporkan Huawei Mate 60 Pro dan Mate 60 dilengkapi cip HiSilicon Kirin 9000s yang tidak diumumkan. Kewujudan ini hanya disahkan selepas peranti menjalani ujian penanda aras Antutu 3D yang menunjukkan prestasinya adalah setanding Snapdragon 888 dan dilengkapi 10 teras CPU.

Huawei Mate 60 Pro

Bloomberg hari ini melaporkan Kirin 9000s mempunyai kemampuan selular yang setanding dengan 5G pada iPhone. Kelajuan mencecah 380 Mbps berjaya dicapai dalam ujian yang dilakukan dengan bantuan TechInsight. Lebih mengejutkan ialah Kirin 9000s dihasilkan menerusi teknologi 7nm oleh Semiconductor Manufacturing International Corp (SMIC). Ia menunjukkan China kini boleh menghasilkan cip 7nm tanpa menggunakan teknologi milik Amerika Syarikat.

Sebelum ini halangan teknologi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat menyebabkan China tidak boleh menghasilkan cip 16nm dan ke bawah. Cip terkini pada waktu ini ialah 3nm yang dihasilkan oleh TSMC dan Samsung. Tetapi Kirin 9000s menunjukkan China kini sudah maju selangkah menggunakan teknologi tempatan.

Huawei sudah diramalkan kembali mengeluarkan peranti 5G tahun ini. Yang menjadikan pelancaran siri Mate 60 aneh ialah ia dilakukan secara mengejut dan cip yang digunakan langsung tidak diumumkan oleh Huawei.

Komen