Carian
Huawei Mate 60 Pro Menggunakan Cip Baharu Kirin 9000s Rekaan Sendiri
August 29, 2023 Effi Saharudin

Huawei Mate 60 Pro dilancarkan hari ini secara mengejut tanpa sebarang pengumuman awal. Tambah aneh peranti dilancarkan tanpa spesifikasi cip yang digunakan. Mengapakah maklumat penting ini dirahsiakan? Misteri mengenai cip apa yang dipakai dirungkai oleh Antutu 3D yang mengesahkan Mate 60 Pro dilengkapi cip baharu Kirin 9000s dengan CPU 12 teras.

Berdasarkan maklumat Antutu 3D, cip ini dilengkapi 6X teras CPU Cortex-A78AE, 4X teras CPU Cortex-A510 dan 2X teras CPU Cortex-A34. Menarik di sini ialah penggunaan Cortex-A34 sebagai teras kuasa rendah yang jarang sekali dilakukan. Ini dipadankan pula dengan GPU Maleoon 910 yang tidak pernah diumumkan sebelum ini.

Dalam ujian Antutu 3D, Kirin 9000s mencatatkan 699,783 markah sahaja yang hanya sedikit lebih tinggi berbanding Snapdragon 888.

Ini ialah kali pertama sejak 2020 Huawei memperkenalkan cip HiSilicon Kirin baharu. Mereka menghentikan pengeluaran cip rekaan sendiri selepas akses kepada teknologi baharu dihalang oleh Amerika Syarikat. Kirin 9000s dilihat sebagai penambahbaikan kepada cip Kirin 9000 dari tahun 2020.

Komen