Impian Meta untuk menjadi juara dunia metamesta dan set kepala XR masih belum padam walaupun sedikit terbantut kerana kurangnya sambutan. Pelancaran Quest 3 minggu lalu menunjukkan kemampuan set kepala yang semakin baik menerusi cip Snapdragon XR2 Gen 2 keluaran Qualcomm. Menurut laporan South China Morning Post, ini menyebabkan kakitangan Facebook Agile Silicon Team (FAST) di bawah Facebook Reality Labs akan mula dibuang kerja.

Kegagalan Meta untuk membangunkan cip sendiri mendorong pengurangan syarikat mengurangkan tenaga kerja. FAST pada waktu ini mempunyai 600 kakitangan dengan jumlah yang akan dibuang masih belum diketahui lagi setakat ini. Sejak menukar nama kepada Meta, Mark Zuckerberg sanggup kerugian berbilion Dollar untuk membina metamesta Horizon Worlds.
Usaha awal Meta kurang berjaya kerana ia memerlukan pengguna membeli set kepala Meta Quest yang bukan sahaja mahal tetapi tidak ditawarkan ke seluruh dunia. Hanya beberapa minggu lalu Horizon Worlds boleh diakses menggunakan pelayar web telefon pintar. Itupun masih terhad kepada penduduk di beberapa negara Barat sahaja.
Meta merasakan dunia metamesta ialah masa depan set kepala. Apple pula mempunyai visi ia digunakan sebagai ruang kerja yang menggabungkan dunia sebenar dengan maya menerusi teknologi XR. Pendapat kami di Amanz ialah selagi set kepala tidak selesa dipakai untuk tempoh masa yang lama dan wujudnya keperluan, selagi itulah ia tidak akan digunakan oleh orang ramai.