WhatsApp kini menguji ciri baharu yang membolehkan pengguna merujuk mesej penting di dalam tetingkap sembang dengan mudah. Melaluinya pengguna telah dibenarkan untuk pin atau menyemat sesuatu mesej pada tetingkap sembang bagi tujuan rujukan di masa hadapan sekiranya perlu. Pengenalan ini menjadi peningkatan yang menarik berbanding sebelum ini yang hanya terhad pada sesuatu perbualan individu dan kumpulan sahaja.
Dalam pada itu pengguna turut boleh memilih tempoh masa tertentu untuk setiap mesej yang disemat. Sebanyak tiga pilihan tempoh masa disediakan yang merangkumi sehari, seminggu dan sebulan. Pun begitu mereka masih boleh membuang mesej tersebut pada bila-bila masa meskipun sebelum tempoh masa yang dipilih tamat. Sebagai tambahan menu pada tetingkap sembang juga telah dikemaskini dengan pelbagai kandungan dan ikon yang mesra pengguna.
Buat masa ini ciri yang dinyatakan hanya boleh dicuba oleh pengguna WhatsApp Beta terpilih. Namun, kita boleh menjangkakan kemaskini bakal diedarkan secara meluas kepada lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.